'Rindu sangat nak peluk, cium Ain dengan menantu'
KUALA LUMPUR - "Sebagai seorang ayah, memang rindu sangat nak jumpa, peluk dan cium Nurul Ain dengan menantu bila mereka sampai dekat sini (Malaysia) nanti untuk lepaskan apa yang terpendam selama ini.”
Demikian kata Haron Hamim, 65, berkongsi kegembiraan mengenai anaknya, Nurul Ain, 37, dan menantu Mohamed Adan Shaat, 33, yang selamat dibawa keluar dari wilayah bergolak Gaza, Palestin.
Beliau berkata, ini merupakan khabar yang ditunggu-tunggu seluruh ahli keluarganya selepas menanti lebih sebulan kepulangan mereka berdua dengan selamat.
"Tidak ada kata mampu saya ungkapkan selain bersyukur kepada ALLAH kerana memudahkan urusan kerajaan Malaysia membawa keluar anak dan menantu daripada kawasan perang.
“Jika sebelum ini setiap masa dan ketika, ingatan saya sentiasa kepada mereka kerana terlalu risau tentang keselamatan. Alhamdulillah terima kasih.
"Saya harap sangat mereka sampai dengan selamat. Tak sabar nak berkongsi kisah mengenai kerisauan kami dan betapa bangga dengan kecekalan mereka sepanjang di sana (Gaza)," katanya pada Isnin.
Nurul Ain dan Mohamed Adan pulang ke kampung halaman di Palestin pada 1 Oktober lalu buat kali pertama selepas hampir enam tahun mereka mendirikan rumah tangga sebelum terkandas di sana akibat konflik Palestin-Israel.
Terdahulu pada Isnin, Kementerian Luar mengesahkan Nurul Ain dan Mohamed Adan telah selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada jam 8.23 malam waktu tempatan pada Ahad (2.23 pagi Isnin waktu Malaysia).
Menerusi kenyataan, Kementerian Luar berkata, ketibaan Nurul Ain dan suami di Lintasan Sempadan Rafah telah dimudah cara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai kedutaan yang lain.
"Sejurus tiba di Lintasan Sempadan Rafah, Nurul Ain telah dihubungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk bertanya khabar melalui panggilan video," kata kementerian itu pada Isnin.
Ujarnya, tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan antara Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan ke republik itu pada 23 Oktober lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!