Kenny G derma saksofon untuk lelongan amal di Vietnam
PEMUZIK jazz legenda, Kenny G akan mendermakan saksofonnya untuk dilelong bagi mengumpul dana kepada golongan yang memerlukan terutama kanak-kanak di Vietnam.
Kenny G tiba di Hanoi pada Sabtu sempena persembahannya pada Selasa, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Persembahan artis berusia 63 tahun itu menandakan pelancaran projek 'Good Morning Vietnam', sebuah projek muzik antarabangsa yang dikhaskan untuk masyarakat di Vietnam dan diasaskan Akhbar Nhan Dan (People) serta IB Group Vietnam.
Projek berkenaan dijangka menjadi acara tahunan yang bukan sahaja mengetengahkan muzik terkemuka dunia tetapi juga memanfaatkan semua hasil daripada aktiviti amal yang dikendalikan oleh akhbar itu.
Ini merupakan lawatan kedua Kenny G ke Vietnam selepas lawatan pertamanya pada 2015.
Persembahan 'Kenny G Live in Vietnam' akan berlangsung selama lebih dua jam di Pusat Konvensyen Nasional di daerah Nam Tu Liem. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!