Perhilitan Perak siasat setiap aduan elak serangan harimau belang
IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengambil langkah proaktif setiap aduan berkaitan harimau belang yang dilaporkan di beberapa kawasan sekitar negeri ini.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, pemasangan perangkap dan kamera antara tindakan yang diambil oleh pasukan di daerah terlibat.
"Ada yang dipasang perangkap dan buat tindakan tembakan halau serta pembakaran mercun supaya harimau bergerak masuk semula ke hutan besar.
"Mengikut prosedurnya, setiap aduan kita akan siasat dulu kesahihan sebelum memasang perangkap kamera dan mengeluarkan surat peringatan kepada ketua kampung serta balai polis berhampiran.
"Surat mengandungi peringatan langkah-langkah perlu diambil untuk keselamatan nyawa, ternakan dan harta benda," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang provokasi sekiranya bertembung dengan binatang buas ekoran serangan harimau belang yang menyebabkan dua lelaki warga asing maut di Gua Musang, Kelantan.
"Ada beberapa faktor binatang buas menyerang manusia, antaranya binatang itu sendiri sedang mengalami kecederaan menyebabkan ia lemah dan memburu apa saja hidupan.
"Sifat pendendam yang dimiliki harimau belang menyebabkan ia menganggap manusia sebagai musuh kerana kemungkinan pernah dicederakan serta diserang atau pernah melarikan anaknya," katanya.
Yusoff berkata, penggunaan jerat oleh pemburu haram boleh menyebabkan konflik antara Harimau Malaya dan manusia.
"Orang ramai dinasihatkan jangan sesekali memasang jerat kerana ia akan menganiaya hidupan liar yang akhirnya boleh menyebabkan hidupan liar berubah perilaku sehingga menyerang manusia.
"Pemasangan jerat ini menyalahi Seksyen 29 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun," katanya.
Sinar Harian melaporkan kelibat harimau mula dilihat beberapa tempat di Sungai Siput, daerah Hulu Perak, Batang Padang, Kinta dan Kampar sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun, seekor harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di Sahom, dekat Kampar ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Rabu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!