Kelayakan Piala Dunia 2026 jadi keutamaan FAM - Hamidin

Hamidin pada sidang media kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Hamidin pada sidang media kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SAINGAN Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lebih menjadi keutamaan buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbanding Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pasukan kendalian Kim Pan-gon bakal memperoleh lebih banyak manfaat sekiranya berjaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Beliau berkata, pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menjadi platform tepat menguji tahap kemampuan Harimau Malaya bagi menyaingi kehebatan pasukan menghuni ranking lebih tinggi di peringkat Asia mahupun dunia antaranya Jepun, Australia serta Iran, sesuatu yang amat jarang berlaku bagi mereka.

Menurut Hamidin, skuad kebangsaan juga bakal mengumpul mata lebih tinggi sekiranya beraksi dalam pusingan tersebut sekali gus meningkatkan kedudukan Harimau Malaya berbanding apa dinikmati mereka pada aksi persahabatan.

"Saingan Piala Asia di Qatar bukanlah sesuatu yang tidak mustahak kerana setelah 42 tahun kita sudah layak dan ia satu kejayaan bermain di sana.

"Namun, jika dapat layak ke peringkat seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026, kita boleh cipta sejarah iaitu pasukan kita dapat jadi 18 pasukan terbaik dan bermain 10 perlawanan bertaraf dunia, halaman sendiri dan tempat lawan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Justeru, Hamidin berkata, amat penting buat penyokong Harimau Malaya menunjukkan sokongan padu termasuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meniup semangat kepada pemain ketika aksi pembukaan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang pasukan ke-97 dunia Kyrgyzstan, Khamis ini, seterusnya aksi di tempat lawan menentang Taiwan (152 dunia), pada 21 November.

Beliau mengakui peminat sudah semestinya mengimpikan untuk melihat Harimau Malaya maju lebih setapak lagi setelah meniti kejayaan membanggakan di bawah kendalian Pan-gon termasuk mara ke Piala Asia 2023 buat kali pertama dalam masa 42 tahun.

Artikel Berkaitan:

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia di kedudukan ke-137 dunia, dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan masing-masing pada 21 dan 26 Mac, bertemu Kyrgyzstan di Bishek pada 6 Jun dan menentang Taiwan pada 11 Jun di Malaysia.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik kumpulan akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak ke Piala Asia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Bagi saingan pusingan ketika kelayakan Piala Dunia, 18 pasukan yang layak akan dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan dua pasukan terbaik akan mara ke Piala Dunia 2026.

Pasukan ketiga dan keempat setiap kumpulan pula akan layak ke pusingan keempat kelayakan dan dipecahkan kepada dua kumpulan dengan juara setiap kumpulan layak ke Piala Dunia 2026 manakala naib juara akan beraksi dalam pusingan playoff menentang pasukan dari benua lain.

Piala Dunia 2026 akan dihoskan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat secara bersama dengan format baharu 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini.

Juara tiga kali Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali pertamanya pada 2027.

Bagi pusingan akhir Piala Asia 2023, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!