Terpaksa keluar dari Gaza demi keselamatan - Nurul Ain
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang sebelum ini terperangkap di Gaza, Nurul Ain Haron dan suaminya yang juga warga Palestin, Mohamed A M Shaat terpaksa mengambil keputusan untuk meninggalkan negara itu atas faktor keselamatan.
Menerusi panggilan video dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ain berkata, pada mulanya mereka berniat untuk terus tinggal lebih lama di negara tersebut namun suaminya juga perlu terus bekerja untuk menyara keluarga.
“Alhamdulillah, semalam kami tunggu lama sangat dekat sempadan, seperti biasa kelulusan untuk keluar dengan pasport Palestin tidak mudah," katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Nurul Ain dan suaminya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan kerana telah mempermudahkan urusan mereka untuk pulang ke Malaysia.
Penghargaan sama turut dizahirkan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan mereka sepanjang berada di zon konflik negara berkenaan.
Anwar dalam video yang sama turut mendoakan Nurul Ain dan suaminya selamat tiba di tanah air.
ARTIKEL BERKAITAN:Nurul Ain, suami selamat dibawa keluar dari Gaza
ARTIKEL BERKAITAN:PM buat panggilan video dengan Nurul Ain, suami
ARTIKEL BERKAITAN:'Rindu sangat nak peluk, cium Ain dengan menantu'
“Jaga diri Ain, suami dan keluarga semua.
"Doakan rakyat Palestin terutamanya di Gaza dapat kebebasan dan dijauhi kezaliman berterusan daripada Israel,” ujarnya.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan Nurul Ain dan Mohamed berjaya dibawa keluar dari Gaza melalui Lintasan Sempadan Rafah, Mesir jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia) pada Ahad.
Sementara itu, bapanya, Haron Hamim, 65, turut berkongsi kegembiraan mengenai anak dan menantunya yang selamat dibawa keluar dari wilayah bergolak itu.
“Sebagai seorang ayah, memang rindu sangat nak jumpa, peluk dan cium Nurul Ain dengan menantu bila mereka sampai dekat sini (Malaysia) nanti untuk lepaskan apa yang terpendam selama ini,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!