Ribut: Lebih 40 rumah rosak

Deretan rumah penduduk di Persiaran Taman Meru 26, Taman Meru 2C, Ipoh rosak dalam kejadian ribut pada Isnin.
Deretan rumah penduduk di Persiaran Taman Meru 26, Taman Meru 2C, Ipoh rosak dalam kejadian ribut pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Dianggarkan lebih 40 rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian ribut di Taman Meru 2C, Meru Raya di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 4 petang itu melibatkan rumah penduduk di Persiaran Taman Meru 22, 24,26 dan 30.

Penduduk, Siti Syahadah Mohamad Fauzi, 29, berkata, kejadian itu antara terburuk pernah dialami mereka sejak 10 tahun lalu apabila bumbung rumah penduduk diterbang angin sejauh 30 meter.

Siti Syahadah
Siti Syahadah

"Saya menggeletar apabila terdengar bunyi letupan kuat dan terlihat percikan api pada tiang elektrik rumah berhampiran seperti dipanah petir.

"Angin kuat berlaku sekejap kira-kira lima minit sahaja namun, siling rumah kami runtuh manakala bahagian dalam rumah basah terkena hujan," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut ibu kepada enam anak itu, mereka mengharapkan sebuah penempatan sementara disediakan berikutan keadaan cuaca yang masih hujan selain risiko berlakunya runtuhan siling.

Mangsa menikmati makanan dalam gelap selepas rumah mereka terkena ribut.
Mangsa menikmati makanan dalam gelap selepas rumah mereka terkena ribut.

Artikel Berkaitan:

Bagi suri rumah, Zalina Mohd Zin, 33, dia terkejut apabila bumbung di bahagian dapur rumahnya hilang keseluruhannya.

Zalina
Zalina

"Kami tujuh sekeluarga berada di Kuala Kangsar melawat ibu terkejut diberitahu jiran keadaan rumah paling teruk dilanda ribut.

"Ini bukanlah kejadian pertama sepanjang tiga tahun tinggal di sini tetapi kali ini tidak sangka rumah jadi terang dengan barang kelengkapan rosak melibatkan kerugian sekitar RM10,000," katanya.

Bumbung bahagian dapur rumah Zalina hilang dalam kejadian ribut di Taman Meru 2C, Ipoh.
Bumbung bahagian dapur rumah Zalina hilang dalam kejadian ribut di Taman Meru 2C, Ipoh.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kinta memaklumkan, sebuah pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh di Taman Meru dibuka sekitar jam 8 malam.

"PPS dibuka selepas mendapati keadaan rumah mangsa ketika ini belum selamat dan memerlukan tempat perlindungan sementara melibatkan penduduk Taman Meru 2B dan 2C," katanya.

Sebelum itu tular di media sosial Facebook beberapa video dan gambar memaparkan kejadian ribut di Taman Meru 2C sehingga menerbangkan bumbung dan sengkuap beberapa rumah di situ.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!