PM Israel beri amaran jangan masuk campur urusan Zionis di Gaza

Netanyahu bergambar dengan anggota IDF di markas tentera Israel di Tze'elim sebelum operasi serangan darat di Gaza. - Agensi
Netanyahu bergambar dengan anggota IDF di markas tentera Israel di Tze'elim sebelum operasi serangan darat di Gaza. - Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus menunjukkan sikap angkuh apabila mengugut pemimpin Arab supaya tidak masuk campur dalam menyuarakan isu konflik Palestin-Israel.

Menurut Netanyahu, kepentingan negara Arab akan terus dipelihara jika mereka mengambil pendekatan berdiam diri.

“Kepada pemimpin negara Arab yang bimbang dengan masa depan negara anda, saya hanya mahu katakan sesuatu kepada anda.

“Berdiam diri atau keluar menentang Hamas. Saya yakin ramai pemimpin Arab memahami perkara ini,” katanya dalam ucapan berbahasa Ibrani yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Tambah Netanyahu: “Serangan di Gaza sedang dipertingkatkan dan ia hanya mempunyai satu matlamat iaitu menang. Tiada alternatif selain kemenangan.”

Pemimpin Zionis itu turut menegaskan kononnya operasi ketenteraan yang kini telah meragut nyawa lebih 11,000 penduduk Gaza kebanyakannya kanak-kanak, adalah mengikut undang-undang antarabangsa.

“Tentera kami sedang melakukan tugas yang baik bagi meminimumkan kematian orang awam,” katanya.

Netanhayu berkata, dunia tidak sepatutnya mengecam Israel.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Netanyahu turut memberi amaran kepada kumpulan Hizbullah agar tidak melakukan kesilapan bagi mengelak Lubnan mengalami malapetaka seperti apa yang berlaku di Gaza.

Beliau mengeluarkan peringatan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah yang menegaskan bahawa serangannya terhadap Israel sebagai sokongan tambahan kepada pejuang Hamas.

Penduduk mengeluarkan mayat kanak-kanak yang maut dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kediaman di Kota Gaza. - Agensi
Penduduk mengeluarkan mayat kanak-kanak yang maut dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kediaman di Kota Gaza. - Agensi

Pada Sabtu lalu, Hizbullah yang disokong Iran telah menggunakan peluru berpandu jarak pendek, Burkan buat pertama kalinya.

Lazimnya, Hizbullah menggunakan serangan dron di sempadan Lubnan untuk menyerang utara Israel setiap hari.

“Saya beri amaran kepada Hizbullah. Jangan tersilap langkah dan masuk campur dalam perang kerana ini akan menjadi kesilapan besar dalam hidup kamu.

“Penglibatan kamu ke dalam perang akan menentukan nasib Lubnan,” kata Netanyahu.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu ketika tekanan masyarakat global terhadap Israel semakin meningkat.

Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad misalnya menyertai masyarakat dunia mendesak supaya dihentikan serta-merta perang dan segera membentuk koridor bantuan kemanusiaan di Gaza.

“EU amat bimbang mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza,” lapor agensi Anadolu memetik kenyataan blok itu.

Kesatuan itu turut menyeru agar akses bantuan kemanusiaan tidak disekat dan menyediakan laluan yang selamat bagi membolehkan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Berhubung serangan terhadap hospital di Gaza, EU menekankan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa menetapkan bahawa hospital, bekalan perubatan dan orang awam di dalam hospital mesti dilindungi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!