Elak ditipu, XPDC tegas soal pembayaran
SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir penganjur yang menipu penyanyi membuatkan kumpulan XPDC mengambil pendekatan untuk lebih bertegas soal pembayaran.
Menurut pemain bass yang juga ketua kumpulan itu, Zuar, dia juga meletakkan syarat sebelum menerima apa jua persembahan.
Kata pemilik nama penuh Azuar Md Tasi itu, mereka sudah menggunakan formula itu sejak awal penubuhan XPDC dan berpendapat setiap artis perlu sama memahami kandungan perjanjian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan penganjur.
“Alhamdulillah kami belum pernah kena tipu kerana kami tegas soal berkaitan kontrak. Misalnya, penganjur perlu bayar wang deposit 50 peratus sebagai pengesahan.
“Jika ada deposit, ada persembahan. Kalau tak ada deposit, gambar pun kami tak benarkan letak pada poster,” katanya.
Zuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Search Voyage of Asia, baru-baru ini.
Kumpulan yang kini dikenali sebagai XPDC Kita Peng Yu turut dianggotai Ary selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram) bakal memanaskan pentas konsert Search di Educity Sports Complex, Johor Bahru bersempena Hari Rock Negara Edisi Selatan pada 24 dan 25 November ini.
Hari Rock Negara Edisi Selatan tampil dengan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan usahawan tempatan, pelancaran album, forum kartun dan rock, qasidah, wayang pacak, showcase serta acara Battle of The Bands.
Berkongsi penglibatannya dalam konsert berkenaan, Zuar berkata, mereka menerimanya atas dasar simpati selepas penganjur C&M Music Centre memaklumkan ditipu orang tengah.
Justeru, atas dasar mahu membantu, mereka menerima pelawaan walaupun hanya sebagai undangan dengan kumpulan utamanya, Search.
“Ikutkan syarat dan terma-terma, kami perlu dibayar sekiranya terbabit dengan sidang media dan sesi bertemu peminat yang diadakan untuk publisiti.
“Bagaimanapun untuk kali ini, kami bersimpati dengan penganjur yang difahamkan ditipu oleh orang tengah. Tapi tak mengapalah kami kumpulan yang boleh bertolak-ansur,” ujarnya.
Tambah Zuar, mereka akan mengadakan persembahan 45 minit tanpa henti pada konsert itu nanti sebelum pentas diserahkan kepada kumpulan Search.
“Apa yang boleh kami katakan, persembahan pada pentas konsert berbayar berbeza dengan persembahan kami yang diadakan secara percuma.
“Siapa yang selalu menyaksikan persembahan XPDC pasti akan perasan perbezaan itu.
“Biasanya untuk konsert, kita akan buat persembahan yang lebih hebat. Kalau nak tahu, kena saksikan persembahan kami pada konsert ini nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!