Kisah terperinci di zon konflik Israel-Palestin perlu dikongsi

Anwar melahirkan rasa syukur, selepas Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar dari kawasan konflik itu. - Foto Facbeook Wisma Putra
Anwar melahirkan rasa syukur, selepas Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar dari kawasan konflik itu. - Foto Facbeook Wisma Putra
A
A
A

PERMINTAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat Malaysia yang sebelum ini terperangkap di Gaza, Nurul Ain Haron dan suaminya, Mohamed A M Shaat untuk berkongsi kisah terperinci berkaitan situasi sebenar negara bergolak itu wajar dilakukan.

Sejak konflik Israel-Palestin berlaku 7 Oktober lalu, pelbagai sumbangan oleh rakyat Malaysia dikumpulkan dan disalurkan kepada rakyat Palestin tetapi tiada sebarang makluman rasmi mengenai status bantuan tersebut.

Justeru, tindakan Anwar meminta Nurul Ain dan suaminya untuk menceritakan situasi sebenar di sana sangat penting supaya rakyat Malaysia boleh mengetahui sama ada sumbangan yang disalurkan sampai ke pihak sepatutnya atau tidak.

Ia kerana, baru-baru ini dilaporkan bahawa rejim Zionis telah mengebom trak yang membawa bekalan minuman untuk penduduk di Gaza dan mereka terpaksa meminum air kotor kerana ketiadaan bekalan air bersih.

Bagaimanapun, Tabung Kecemasan Palestin berjaya menyalurkan sumbangan awal pek makanan bernilai AS$10,000 (RM47,650) dan penyerahan dilakukan pihak Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) kepada wakil penduduk di Gaza, November lalu.

Banyak lagi bantuan yang telah berjaya disalurkan namun, adakah ia mencukupi untuk semua penduduk Gaza yang terjejas? Berapa lamakah bekalan bantuan dapat bertahan setiap kali ia diagihkan?

Dalam pada itu, Nurul Ain juga dikatakan telah berusaha untuk turut serta mengagihkan bantuan dari segi makanan, selimut, ubat-ubatan serta mainan untuk kanak-kanak hasil sumbangan orang ramai ke dalam akaun miliknya.

Namun, keadaan itu hanya diketahui apabila Nurul Ain sendiri yang mendedahkannya. Bagaimana pula dengan keadaan kini setelah dia dan suaminya mengambil keputusan untuk keluar dari wilayah konflik itu?

Artikel Berkaitan:

Malaysia merupakan salah satu daripada negara yang menentang sekeras-kerasnya tindakan tidak masuk akal Israel, sudah pasti kita mahu mengetahui keadaan sebenar di sana.

Diharapkan dengan pendedahan yang bakal dibuat oleh Nurul Ain mengenai keadaan sebenar di Gaza akan membantu lebih ramai pihak mengetahui status bantuan yang disalurkan.

Kesimpulannya, ia juga akan membuka mata lebih banyak pihak untuk terus membantu dan menyokong rakyat Palestin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!