Tuntut pampasan 11 ADUN: 'Tindakan tidak masuk akal'
KOTA KINABALU - Tindakan Parti Warisan (Warisan) menuntut pampasan terhadap 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada parti itu disifatkan tiada asas dan tidak masuk akal.
ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, beliau tidak tahu punca Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil tindakan itu.
"Saya belum terima sebarang surat tuntutan, saya pun tidak tahu apa sebabnya Presiden atau Warisan mengambil tindakan ini. Mungkin tidak dibincangkan apakah asas menuntut perkara ini, mungkin juga Warisan sudah tiada duit.
"Jadi asasnya ialah tidak pernah dibuat sebelum ini, sepatutnya perbelanjaan pilihan raya itu adalah tanggungjawab parti untuk yang dipilih.
"Parti yang sepatutnya membiayai, tetapi kalau ada pun tidak sebanyak mana.
"Tidak ada rekod dalam pembiayaan, itu yang dibenarkan dan dilaporkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi ADUN cuma RM100,000 dan Parlimen RM200,000," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tuntutan terbaharu Warisan terhadap 11 ADUN yang keluar parti membabitkan pampasan perbelanjaan yang dikeluarkan Warisan dalam pilihan raya lalu.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, tindakan parti itu hanya sekadar cubaan untuk menakutkan ADUN mereka yang masih kekal bersama parti.
"Kerana sekarang ada insiden empat ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menukar sokongan kepada Perdana Menteri kita dan mereka tidak keluar parti tetapi memberi sokongan demi kebaikan negara dan kestabilan politik.
"Keduanya ialah supaya ADUN yang keluar telah keluar Warisan mungkin gelisah atau bertukar fikiran, tetapi tidak begitu," katanya.
Sementara itu, ADUN Tanjung Kapor, Chong Chen Bin menganggap tindakan itu tidak masuk akal sambil memberi perumpamaan jika rakyat biasa berpaling tadah tidak menyokong mereka adakah turut dikenakan tindakan sama.
"Andaikan orang yang Datuk Shafie pernah tolong dengan memberi wang bantuan dulu, kalau satu hari mereka tidak menyokongnya lagi, adakah dia akan minta balik wang bantuan itu?
"Kami pun pernah menyumbang juga kepada parti, kami pun ada pakai duit sendiri, bendera juga masa duit tidak cukup.
"Tak mungkin kami mahu minta balik," katanya.
Sehubungan itu, Chen Bin berkata, pihaknya bersedia untuk menerima sebarang tindakan daripada pihak Warisan dan akan melawannya semula.
"Saya anggap mereka cuma mahu cipta satu isu saja bagaimanapun saya masih menghormati Presiden Warisan. Tiada dia, tiada saya hari ini.
"Tetapi jika dia ambil tindakan undang-undang terhadap saya, saya akan lawan juga.
"Kami terima saja, dia pakai peguam, kami pun ada.
"Memang sedia menunggu," katanya.
Dalam laporan Sinar Harian pada Rabu lalu, Mohd Shafie menyatakan parti berhak mendapatkan pampasan bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam pilihan raya yang dimenangi 11 ADUN tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!