Dollah menangis setiap kali lihat gambar, video arwah ibu bapa
MUAR - Remaja yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga maut membabitkan lima kenderaan di Segamat pada September lalu kini sudah mula menjalani kehidupan normal dan menunjukkan keadaaan kesihatan yang semakin baik.
Abang mangsa, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, berkata, adiknya, Abdullah Amir Rudin, 15, atau lebih mesra dipanggil Dollah kini semakin pulih dan bersemangat selepas berdepan tragedi tersebut yang meragut nyawa ibu bapa dan adik-beradiknya.
"Semangat Dollah memang kuat daripada keadaannya dikatakan hanya 50-50, kemudian terlantar lebih sebulan dan guna kerusi roda tiga hingga empat hari.
"Selepas itu Dollah boleh berjalan semula dalam masa sehari, hari kedua sudah boleh mengayuh basikal dan semua itu sangat memberi motivasi kepada saya untuk kuat meneruskan kehidupan kami bersama.
"Adik saya juga sudah boleh makan seperti biasa cuma dalam kuantiti sedikit," kata Abdur Rahman ketika dihubungi.
Kemalangan pada jam 6.37 petang, 1 September lalu itu meragut nyawa ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan bapa, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik-beradiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemelah di Segamat untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.
Namun setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.
Bercerita lanjut, Abdur Rahman berkata, Abdullah menunjukkan perkembangan positif tetapi mengakui personaliti adiknya berubah daripada seorang yang agak pendiam kepada banyak bercakap dan ceria.
Pada masa sama katanya, Abdullah masih perlu memakai lampin pakai buang tetapi sudah boleh menguruskan diri sendiri dengan pemantauan mereka.
"Alhamdulillah, keadaan Dollah semakin baik cuma ingatan dia sekejap ingat sekejap tidak. Dollah juga seperti kanak-kanak dan banyak bercakap berbanding sebelum kemalangan yang agak pendiam serta hanya menjawab sepatah-sepatah," ujarnya.
Sebagai abang katanya, dia tidak jemu melayan Abdullah dan bersyukur dengan perkembangannya yang semakin baik selain berterima kasih kepada orang ramai yang terus memberikan sokongan.
Dia yang kini menetap di Parit Jawa di sini berkata, kehilangan ibu bapa dan adik-beradik tersayang dua bulan lalu sangat perit, namun mereka tetap kuat menjalani kehidupan bersama keluarga ibu bapa mereka yang sentiasa berada di sisi dan membantu dalam kehidupan harian.
"Setiap hari kami ingat pada insan tersayang dan rindu itu tidak pernah hilang tetapi saya reda mereka pergi dahulu. Dollah juga merindui mereka dan apabila melihat gambar serta video arwah, dia akan menangis dan selepas itu lupa.
"Apabila teringat dia akan tanya 'mana ibu dan abi' dan saya akan beritahu 'ibu dan abi tidur dalam syurga' sebelum dia cakap 'oh lupa pula'. Kadang-kadang Dollah juga terbayang ibu dan abi," katanya.
Menurut Abdur Rahman, dia kini kuat menjalani kehidupan tanpa insan tersayang kerana masih mempunyai keluarga lain terutama adiknya, Abdullah dan mengakui itu juga menjadi pembakar semangatnya untuk menghabiskan pengajian.
Dia kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Sekolah Rendah di Open University Malaysia (OUM) secara jarak jauh.
"Ketika ini kami memang bergantung dengan keluarga selain pencen ibu dan abi. Ketika ini kelas saya setiap Sabtu secara dalam talian dan saya mahu belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan lebih cerah nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!