Pencemaran air, udara di Kampung Belihoi terkawal

Veerapan (tengah) membuat tinjauan di lokasi terjejas akibat pembuangan bahan kimia hari ini. (Gambar kecil: Veerapan)
Veerapan (tengah) membuat tinjauan di lokasi terjejas akibat pembuangan bahan kimia hari ini. (Gambar kecil: Veerapan)
A
A
A

SEREMBAN - Pencemaran Sungai Belihoi dan bau kimia di Kampung Belihoi, Mantin di sini berada dalam keadaan terkawal.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, kerja-kerja pembersihan longgokkan sisa bahan kimia yang dibuang di tepi jalan utama Mantin-Seremban sedang dijalankan untuk dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Sendayan.

Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan, sisa buangan ini didapati dalam bentuk enap cemar dan berbau toksik, yang mana aliran buangan sisa kimia tersebut turun melalui cerun dan akhirnya masuk ke Sungai Belihoi.

"Tindakan ini menyebabkan air sungai tercemar, hidupan mati dan menyebabkan air sungai berbau kimia yang sangat busuk.

"Semalam lebih 20 penduduk yang tinggal di Kampung Belihoi ini mengalami pencemaran udara yang mengakibatkan mereka sesak nafas dan pedih mata.

"Bagaimanapun, keadaan hari ini kembali terkawal sebaik sahaja langkah-langkah pencegahan dan pembersihan sisa bahan kimia ini dilakukan oleh semua agensi terlibat pada jam 3 petang semalam. Sehingga hari ini kerja-kerja pembersihan masih lagi dilakukan sebelum sisa kimia itu dihantar ke Kualiti Alam untuk dilupuskan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di lokasi tercemar di Jalan Mantin-Seremban dekat sini hari ini.

Veerapan berkata, aliran Sungai Belihoi ini didapati mengalir ke Sungai Temiang Division dan seterusnya masuk ke Sungai Linggi (standard A), yang merupakan salah satu punca utama air mentah.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita bersyukur pencemaran tidak berlaku sehingga ke Sungai Linggi, kerja-kerja pencegahan awal telah pun dilakukan sebaik sahaja pihak JASNS (Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan) menerima aduan.

"Tiada gangguan bekalan air berlaku malah punca pencemaran terletak lebih kurang 17.5 kilometer daripada takat pengambilan air Loji Kuala Sawah Rantau," katanya.

Menurutnya, JASNS telah mengambil sampel air sungai dan juga sampel sisa buangan terjadual untuk dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya sebelum dianalisa.

Katanya, pihaknya akan mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya di kilang-kilang yang melakukan pemprosesan minyak terpakai.

"Kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun mandatori dan denda RM500,000," katanya.

Tambahnya, sebanyak 45 kilang yang beroperasi di sekitar Nilai diperiksa bagi membantu mengesan pencemaran yang berlaku di Loji Rawatan Air Semenyih, Selangor.

Kejadian pencemaran ini adalah kali kedua selepas berlaku pencemaran Sungai Anak Air Garam di Desa Rasah pada 10 Disember lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!