DBKL kunci air penduduk PA, PPR culas bayar sewa
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan operasi kunci air terhadap penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang culas membawa sewa.
DBKL berkata, penguatkuasaan yang sebelum ini dilaksanakan PPR Perkasa dan Sri Alam kini diteruskan ke PPR Muhibbah dan Batu Muda.
Menurutnya, tindakan tegas itu dilakukan terhadap penyewa degil yang tidak mengendahkan notis peringatan yang dikeluarkan.
"Sebelum tindakan ini diambil, pihak DBKL telah melakukan pelbagai cara bagi mengingatkan para penyewa untuk membayar tunggakan sewa yang ada.
"Notis peringatan sudah dikeluarkan, pertemuan bersemuka sudah dibuat bagi para menyewa berbincang dan melakukan penstrukturan pembayaran, malah pihak DBKL juga telah membuka kaunter bergerak bagi memudahkan urusan dalam membayar tunggakan sewa," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
DBKL berkata, penyewa yang dikenakan tindakan dikehendaki menjelaskan tunggakan sewa bagi membuka kunci air tersebut.
Pada masa sama, DBKL mengingatkan penyewa yang masih mempunyai tunggakan diminta menyegerakan pembayaran bagi mengelak dikenakan tindakan sama.
"Masih ada masa untuk menjelaskan tunggakan tersebut atau berjumpa dengan pihak DBKL untuk berbincang mengenai kaedah terbaik dalam menyelesaikan tunggakan tersebut.
"Operasi ini akan diteruskan di kawasan PA/PPR yang lain dari semasa ke semasa. Ingat, bayar sewa, jelas tunggakan, elak tindakan," ujar kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!