Hantar bantuan guna payung terjun 'jalan terakhir' - PBB

Penduduk Palestin tiba di selatan Kota Gaza pada Ahad, selepas meninggalkan rumah mereka di Bandar Gaza dan Semenanjung Gaza utara. - Foto AFP
Penduduk Palestin tiba di selatan Kota Gaza pada Ahad, selepas meninggalkan rumah mereka di Bandar Gaza dan Semenanjung Gaza utara. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Menghantar bantuan kemanusiaan menggunakan payung terjun ke Semenanjung Gaza menjadi 'jalan terakhir' tetapi langkah ini 'sangat mencabar', menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hal Ehwal Kemanusiaan (UN OCHA).

Ketua OCHA di Palestin yang diduduki Andrea De Domenico berkata, selain sangat mencabar ia juga memerlukan kos yang agak tinggi dan tidak mampan namun itu pilihan terakhir yang ada sekarang.

Justeru itu, De Domenico amat berharap pihak-pihak yang berkaitan bersetuju untuk menyediakan akses tanpa halangan dan berterusan.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh meminta Kesatuan Eropah (EU) dan PBB untuk menggunakan payung terjun bagi menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza.

"Saya fikir apa yang benar-benar diperlukan sekarang ialah membuka lintasan bagi memastikan bekalan bantuan dapat dihantar secara berterusan.

"Saya tahu Jordan sudah pun menghantar bantuan dengan menggunakan cara itu (payung terjun) tetapi sudah tentu kuantitinya sangat terhad," kata De Domenico pada Isnin.

Mengulas mengenai keadaan di sekitar hospital Al-Shifa di Gaza, beliau menyeru semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab mereka kerana hospital tidak boleh dijadikan sasaran peperangan.

Sementara itu, beliau menganggarkan sehingga Ahad, seramai 230,000 penduduk awam mungkin telah berpindah ke selatan Gaza. - Bernama/Anadolu

Artikel Berkaitan:


Rakyat Palestin sedang berjalan dari Kota Gaza ke arah selatan, di tengah Semenanjung Gaza pada 8 November lalu. - Foto Xinhua
Rakyat Palestin sedang berjalan dari Kota Gaza ke arah selatan, di tengah Semenanjung Gaza pada 8 November lalu. - Foto Xinhua

Keadaan di Semenanjung Gaza kekal terdesak, dalam tekanan dahsyat

GAZA - Keadaan di Semenanjung Gaza kekal terdesak dan berada dalam tekanan yang dahsyat.

Jurucakap Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Tommaso Della Longa berkata, ramai yang masih hilang dan ada yang dibiarkan berada di bawah runtuhan kerana tiada siapa yang dapat memasuki kawasan berkenaan.

Selain akses ke kawasan yang dibom adalah sukar, pasukan paramedik juga tidak mempunyai kemudahan jentera berat seperti jentolak yang boleh membantu mencari mangsa yang terselamat.

"Setiap usaha diplomatik yang akan membawa walaupun sedikit pembukaan sempadan atau jeda kemanusiaan atau membawa lebih banyak bantuan di dalam Semenanjung Gaza disambut dengan hangat.

"Tetapi kita tahu itu sangat rumit.

"Masalahnya di sini adalah penduduk di Gaza tidak mempunyai masa.

"Bayi dalam inkubator Hospital Al-Quds tidak mempunyai masa," katanya.

Persatuan Palang Merah pada Isnin telah cuba untuk memindahkan kira-kira 6,000 pesakit dan beberapa kakitangan dari hospital kedua, Al-Quds, selepas ia ditutup kerana kekurangan bahan api, namun konvoi berkenaan terpaksa berpatah balik kerana tembakan dan pertempuran.

Pertempuran antara Israel dan Hamas di sekitar hospital memaksa beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari beberapa tempat terakhir yang dianggap selamat di utara Gaza, menyebabkan mereka yang cedera parah dan bayi baru lahir berlindung di tempat yang tiada makanan dan bekalan elektrik.

Sehingga Jumaat lalu, lebih 11,000 rakyat Palestin terkorban, yang mana dua pertiga daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, kira-kira 2,700 orang telah dilaporkan hilang. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!