'Dah 12 hari abang hilang'
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki memohon bantuan orang ramai mencari abangnya yang hilang sejak 12 hari lalu selepas dibebaskan dari penjara awal bulan ini.
Muhammad Ezzamey Yusof, 24,berkata, abangnya, Shukri Yusuf, 40, tidak pulang ke rumah mereka di Ketengah Jaya, Dungun sejak 2 November lalu dan sehingga kini gagal dikesan.
"Saya dapat tahu abang saya hilang selepas menelefon pihak penjara di Marang untuk beritahu mahu melawat dia, tetapi pihak penjara maklum dia tiada di situ sebab dah dibebaskan.
"Saya ni sebenarnya baru balik juga sebab saya kerja di laut dan tiga bulan sekali baru balik. Jadi sepanjang dia di penjara saya tidak berhubung dengan dia. Kebetulan baru ni balik saya ingat nak melawat dia. Tapi lain pula jadinya," ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Selasa.
Anak bongsu dari 10 beradik itu berkata, dia telah berusaha mencari abangnya di merata-rata tempat tetapi masih belum berjumpa.
"Dah merata tempat saya cari termasuk di tempat kerja dia di ladang kelapa sawit, (dekat Ketengah Jaya) tapi tak jumpa.
"Sesiapa yang ternampak atau terjumpa abang saya boleh maklum kepada saya dengan menghubungi nombor telefon saya," katanya.
Menurut Muhammad Ezzamey, abangnya yang merupakan anak keempat dimasukkan ke penjara pada 24 Mei lalu selepas gagal dalam ujian saringan air kencing.
"Abang saya hanya tak lepas ujian urin. Itu pun kali pertama dia 'sangkut'. Dia tidak terlibat dalam jenayah lain.
"Dia juga belum berumah tangga dan tinggal di rumah pusaka keluarga kami. Ayah pula telah berkahwin lain dan tidak tinggal di situ selepas arwah emak meninggal dunia," katanya.
Menurut Muhammad Ezzamey, dia telah membuat laporan polis berhubung kehilangan abangnya di Balai Polis Merchang, Marang pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, pihak polis telah menerima laporan dan kertas siasatan telah dibuka berhubung kes berkenaan.
"Kes ini dalam tindakan dan siasatan pihak polis," katanya.
Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi keluarga mangsa di talian 013-9938500 (Muhammad Ezzamey) atau melaporkan di balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!