Selangor perluas lampu solar elak kes kecurian kabel
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan memperbanyakkan pemasangan lampu solar bagi menangani kes kecurian kabel yang kerap berlaku di negeri ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kes kecurian kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat membimbangkan hingga menyebabkan banyak kawasan yang sepatutnya diterangi lampu tidak bernyala.
"Mereka (pihak tidak bertanggungjawab) mencuri kabel menyebabkan pemasangannya memerlukan masa bagi membetulkan semula lampu yang menggunakan tenaga elektrik," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehen Mukhyi mengenai punca masalah ketiadaan atau kekurangan lampu jalan terutama di kawasan berisiko kemalangan di daerah Sabak Bernam.
Izham berkata, faktor kecurian kabel menyebabkan kebanyakan lampu jalan tidak dapat dihidupkan hingga mengundang rungutan daripada penduduk dan pengguna jalan raya.
"Biasanya kita dapat lihat tiang lampu ada, tetapi lampu tak menyala dan kita cuba atasi dengan penggunaan lampu solar," katanya.
Terdahulu beliau memberitahu, kriteria pemilihan lokasi pemasangan lampu solar dibuat terutama di kawasan vandalisme atau kadar kecurian yang tinggi.
Selain itu, katanya, kriteria lain dipertimbangkan ialah seperti tiada punca bekalan kuasa, kawasan gelap yang kerap kemalangan, simpang terpencil jauh dari bekalan kuasa TNB, jambatan dan di luar kawasan rentis TNB dengan jarak 30 meter.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah melaksanakan program pencahayaan lampu Jalan jenis Solar LED di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun lalu hingga masa sekarang.
Katanya, sebanyak 790 tiang lampu berwarna merah kuning dipasang di bawah program itu.
"Pemantauan terhadap penyelenggaraan lampu jalan telah dimasukkan di bawah skop rondaan berkala di dalam Kontrak Jangka Panjang (KJP)," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!