'Cara ALLAH tunjukkan kebesaran supaya kita ingat kepadaNYA'
SERIAN - Pengalaman sebanyak tiga kali menyaksikan fenomena gerhana matahari dengan matanya sendiri sebelum ini sudah cukup untuk menginsafkan Pegawai Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Mohamad Mokarat terhadap kebesaran Ilahi.
Mohamad, 57, berkata, perasaannya sungguh syahdu sewaktu melihat gerhana matahari di mana kita dapat melihat kebesaran dan kekuasaan ALLAH Yang Maha Esa.
“Pengalaman pertama saya melihat sendiri gerhana matahari ialah sewaktu di Kudat, Sabah pada 1995. Masih terbayang dalam ingatan betapa indahnya pemandangan yang amat jarang dilihat serta timbul rasa keinsafan dalam diri.
“Kali kedua saya berpeluang untuk melihat sendiri ialah pada 1998 di Bintulu. Ketika itu berlakunya fenomena gerhana matahari penuh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui lokasi pencerapan gerhana matahari anulus (cincin) di Dataran Piazza di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena alam 'cincin berapi' melanda Malaysia
Mengulas lanjut, Ustaz Mohamad yang telah lebih 21 tahun berkhidmat di Jabatan Mufti itu berkata, pengalaman kali ketiganya menyaksikan fenomena gerhana matahari penuh agak istimewa kerana ia berlaku di Palembang, Indonesia.
“Sewaktu kejadian itu, keadaan alam tiba-tiba gelap dan sungguh sunyi untuk beberapa minit dan hanya kedengaran kicauan burung.
“Ketika itulah kita dapat rasa bahawa ALLAH SWT ingin menunjukkan kebesaranNYA kepada manusia agar sentiasa mengingati kepada Yang Maha Pencipta,” katanya.
Sementara itu, fenomena gerhana matahari anulus (cincin) akan dapat disaksikan pada petang ini di Serian, kira-kira 60 kilometer dari Bandar Raya Kuching.
Gerhana tersebut berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari tetapi disebabkan pada ketika itu, bulan berada agak jauh daripada bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.
Selain Serian, Tanjung Piai di Johor turut bakal mengalami fenomena gerhana matahari anulus pada petang ini.
Kali terakhir, gerhana matahari cincin ini pernah terjadi di negara kita adalah 21 tahun yang lalu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!