PM tiba di San Francisco hadir Mesyuarat APEC ke-30
SAN FRANCISCO - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di San Francisco untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di sini dari 14 hingga 17 November.
Pesawat yang membawa Anwar bagi mesyuarat APEC pertamanya sebagai ketua kerajaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, California, pada 9.37 malam (1.37 tengah hari waktu Malaysia Selasa, 14 November) hari ini.
Ketibaan Anwar; isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan anggota delegasi lain disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.
Beliau turut disambut oleh Penolong Ketua Protokol bagi Hal Ehwal Diplomatik, Jabatan Negara AS, Nan Kennelly.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia mengikut Rangka Kerja Ekonomi Madani, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama, pada mesyuarat itu.
Perdana Menteri juga berhasrat untuk mengetengahkan situasi di Palestin untuk meraih sokongan global, akses kemanusiaan dan penyelesaian yang adil terhadap konflik itu.
Anwar juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023.
Beliau juga akan menyertai Mesyuarat Kedua Pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).
Antara acara kemuncak dalam rangka lawatan tersebut perdana menteri akan menyampaikan syarahan umum kepada pelajar dan sarjana di University of California, Berkeley dengan memfokuskan kepada ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific - The View from Southeast Asia’.
Dalam memberikan gambaran keseluruhan keadaan geopolitik, Anwar juga akan menyentuh mengenai demokrasi, kebebasan berperlembagaan dan Islamofobia.
Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan secara individu dengan pemimpin perniagaan terkemuka AS, di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Mesyuarat itu bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia; selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030).
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin ekonomi APEC bagi meneroka cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama.
Anwar juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat BlackBerry dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kerjasama keselamatan siber.
Sebelum pulang ke Malaysia, Perdana Menteri akan bertemu diaspora dan pelajar Malaysia di San Francisco dalam majlis makan malam.
APEC 2023 bertemakan, 'Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua' dijangka menerima pakai Deklarasi Golden Gate 2023 Pemimpin APEC dan memajukan usaha ke arah merealisasikan Visi Putrajaya 2040 APEC.
AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC.
Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.
Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993. Chile menyertainya pada 1994 serta diikuti Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21.
APEC mempunyai hampir 3 bilion penduduk, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48 peratus daripada perdagangan dunia pada 2021. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!