Kertas siasatan anggota polis culik lelaki Bangladesh dirujuk DPP
SHAH ALAM - Kertas siasatan berkaitan tiga anggota polis didakwa terlibat dengan kes pemerasan dan melarikan seorang lelaki warga Bangladesh, Selasa lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), minggu ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga anggota tersebut akan diberi jaminan sementara selepas tempoh reman tamat pada Selasa, manakala tiga lagi suspek masih direman sehingga Khamis.
“Setakat ini kita telah mengambil keterangan seramai lapan individu bagi membantu siasatan.
“Tangkapan melibatkan enam orang iaitu tiga anggota dan tiga orang awam. Kita juga sedang memburu tiga lagi suspek berkaitan kes ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya dalam proses mengambil tindakan tahan kerja ke atas ketiga-tiga anggota tersebut.
"Proses itu akan dilaksanakan selepas siasatan ke atas mereka selesai," katanya.
Pada Isnin, media melaporkan seramai enam individu itu ditahan pada Jumaat, susulan laporan diterima polis daripada anak saudara mangsa pada Rabu lalu yang mendakwa bapa saudaranya meminta untuk diselamatkan dengan membawa sejumlah wang.
Hussein berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan (KK) kerana cuba melakukan pemerasan dan Seksyen 342 KK kerana kurungan salah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!