Shahidan kemuka usul bincang isu calon APBN kecewa kemenangan dibatal
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat berhubung dakwaan seorang calon Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 bahawa kemenangannya dibatalkan pada saat akhir.
Shahidan berkata, usul berkenaan yang dibawa bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) perlu dibincangkan ekoran perkara itu sedang hangat diperkatakan termasuk dalam media sosial.
"Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN mengumumkan tiada pemenang bagi dua kategori dipertandingkan iaitu Ikon Belia Influencer dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon memenuhi kriteria ditetapkan.
"Perkara ini sedang hangat dibincangkan (dalam media sosial). Oleh itu saya ingin perkara ini dibincangkan secara terbuka di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1)," katanya selepas tamat sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor bagaimanapun berkata, beliau belum menerima usul tersebut dan akan memaklumkan sebaik menerima pemakluman.
Sebelum ini tular di aplikasi TikTok dan Instagram berkenaan luahan pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz yang kecewa dengan pembatalan kemenangannya pada acara APBN 2023.
Zhiddin mendakwa telah menerima panggilan berhubung perkara berkenaan kurang 24 jam sebelum majlis berlangsung pada 11 November lalu dan tiada sebarang penjelasan diberi mengenainya.
Menjelaskan kekeliruan berkenaan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dilapor memaklumkan Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon memenuhi kriteria ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!