Rakyat Gaza umpama menunggu 'hukuman mati'

A
A
A

BANDARAYA GAZA - Seluruh Semenanjung Gaza umpama menunggu 'hukuman mati' sejak talian komunikasi terputus yang menyukarkan untuk menghubungi ambulans dan pasukan kecemasan, menurut Pejabat Media Gaza pada Selasa.

Israel memutuskan semua bentuk komunikasi di Gaza selama 36 jam berturut-turut sejak 27 Oktober sebelum menyambungkannya semula.

Pejabat media itu dalam kenyataannya turut memberi amaran tentang kesan serius pemotongan talian komunikasi dan Internet di Gaza dan mengatakan tindakan itu dibuat untuk menyembunyikan semua jenayah perang yang dilakukan oleh tentera penceroboh Israel, lapor Agensi Anadolu.

Lebih 2.3 juta penduduk di Semenanjung Gaza tidak dapat berkomunikasi dengan pasukan penyelamat, kecemasan, bantuan, perubatan, pertahanan awam dan perbandaran serta semua institusi kerajaan dan bukan kerajaan.

Pejabat media juga mengesahkan mereka juga tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain yang membawa kepada penutupan sepenuhnya perhubungan di Gaza.

Tindakan berkenaan merupakan jenayah baharu yang melanggar hak paling asas yang ditetapkan dalam norma antarabangsa, menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Rakyat Palestin hadiri pengebumian ahli keluargayang terkorban dalam serangan semalaman di selatan Semenanjung Gaza, di Khan Yunis pada Isnin. - Foto AFP
Rakyat Palestin hadiri pengebumian ahli keluargayang terkorban dalam serangan semalaman di selatan Semenanjung Gaza, di Khan Yunis pada Isnin. - Foto AFP


Hari-38 perang di Gaza: Angka kematian cecah 11,000 orang

GAZA - Sekurang-kurangnya 11,540 rakyat Palestin telah terkorban ketika pengeboman Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat memasuki hari ke-38 pada Isnin.

Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu lebih 28,200 rakyat Palestin dilaporkan cedera manakala sekurang-kurangnya 3,250 lagi masih hilang atau tertimbus di bawah runtuhan, termasuk 1,700 kanak-kanak.

Seramai 202 kakitangan kesihatan dan 36 anggota Pertahanan Awam turut terbunuh manakala lebih 130 lagi cedera, 60 ambulans rosak, termasuk 53 yang tidak lagi berfungsi sepenuhnya, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) memetik kementerian itu.

Hospital Diserang

Operasi pengeboman di sekitar Hospital Al-Shifa iaitu hospital utama di Bandaraya Gaza diperhebat sejak 11 November, apabila infrastruktur penting dibedil hingga melumpuhkan operasinya termasuk stesen pengudaraan, tangki air dan perigi, kemudahan jabatan kardiovaskular serta wad bersalin manakala tiga jururawat turut maut.

Kira-kira enam bayi pramatang dan sekurang-kurangnya 15 pesakit meninggal dunia kerana hospital tidak lagi berfungsi akibat ketiadaan bahan api.

Bilangan hospital yang tidak lagi beroperasi kini mencecah 25 daripada 35 hospital di Semenanjung Gaza dan 53 daripada 72 klinik kesihatan juga telah berhenti beroperasi kerana kekurangan bahan api atau dibom.

Bulan Sabit Merah Nafi Dakwaan Lelaki Bersenjata Di Dalam Hospital Al-Quds

Seorang pekerja melihat bahagian dapur sebuah kedai roti yang dibedil roket Israel di utara Gaza. - Agensi
Seorang pekerja melihat bahagian dapur sebuah kedai roti yang dibedil roket Israel di utara Gaza. - Agensi

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Isnin menafikan dakwaan Israel mengenai kehadiran lelaki bersenjata Palestin di dalam Hospital Al-Quds di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Persatuan itu mengecam 'dakwaan palsu tentera pendudukan (Israel) mengenai lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari dalam Hospital Al-Quds.'

Pihaknya juga menganggap dakwaan itu sebagai "hasutan untuk menyasarkan hospital" yang secara terang-terangan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Persatuan Bulan Sabit Merah pada Ahad memaklumkan bahawa Hospital Al-Quds tidak lagi beroperasi kerana kekurangan bahan api dan elektrik, namun ramai penduduk Gaza berlindung di hospital itu dengan harapan ia tidak akan dibedil rejim Israel.

'Tiada Bahan Api Masuk ke Gaza' Sejak 7 Oktober

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin memberi amaran bahawa pihaknya kemungkinan terpaksa menangguhkan operasi di Gaza dalam tempoh 48 jam kerana kekurangan bahan api.

Kenyataan itu dibuat oleh pengarah UNRWA di Gaza Thomas White, yang mengesahkan bahawa 'tiada bahan api memasuki Gaza' sejak 7 Oktober.

"Operasi kemanusiaan di Gaza akan terhenti dalam tempoh 48 jam akan datang kerana tiada bahan api dibenarkan masuk Gaza sejak tarikh itu," kata pegawai kanan itu.

UNRWA merupakan agensi utama PBB yang beroperasi di Semenanjung Gaza, dan sekolah-sekolahnya kini menempatkan kira-kira 700,000 rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal.

Beribu-ribu bangunan termasuk hospital, masjid dan gereja juga rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat sejak bulan lalu. - Bernama/Wafa/Anadolu


Hamas sedia bebaskan 70 tebusan, balasan gencatan senjata

GAZA - Hamas memaklumkan pihak pengantara Qatar bahawa kumpulan itu bersedia untuk membebaskan sehingga 70 wanita dan kanak-kanak yang ditahan di Gaza sebagai balasan gencatan senjata lima hari dengan Israel.

Menurut jurucakap sayap tenteranya, Briged Al Qasam, Abu Ubaida, gencatan senjata seharusnya termasuk gencatan senjata yang lengkap serta membenarkan bantuan kemanusiaan di semua lokasi di Semenanjung Gaza.

Abu Ubaida berkata, gencatan senjata seharusnya termasuk gencatan senjata yang lengkap serta membenarkan bantuan kemanusiaan di semua lokasi di Semenanjung Gaza. - Gambar Reuters
Abu Ubaida berkata, gencatan senjata seharusnya termasuk gencatan senjata yang lengkap serta membenarkan bantuan kemanusiaan di semua lokasi di Semenanjung Gaza. - Gambar Reuters

“Dalam lima hari genjatan senjata, kita boleh membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak yang ditawan di Gaza... boleh (bebas) sehingga 70, kerana ada masalah mempunyai (menahan) tebusan ini daripada pelbagai pihak.

“Bagaimanapun... musuh berlengah-lengah dan mengelak untuk membayar harga perjanjian itu,” katanya menerusi saluran Telegram.

Sementara itu, angka kematian rakyat Palestin di Gaza mencecah 11,240 orang semalam, selepas lebih lima minggu serangan Israel berterusan.

Menurut kerajaan Hamas, antara yang maut ialah 4,630 kanak-kanak dan 3,130 wanita dengan 29,000 lagi cedera. - Agensi/Awani


Hospital Gaza jadi 'kubur besar'

GENTING GAZA - Pengarah hospital terbesar di Genting Gaza pada Selasa memaklumkan kira-kira 179 pesakit yang meninggal dunia terpaksa dikebumikan di dalam 'kubur besar' di kompleks tersebut yang kini kehabisan bekalan bahan api.

Situasi menyayat hati di Hospital al-Shifa itu diumumkan Mohammad Abu Salmiyah sambil menambah jumlah yang disemadikan dalam satu liang lahad itu termasuk tujuh bayi dan 29 pesakit di unit rawatan rapi (ICU).

"Terdapat mayat bergelimpangan di sekitar hospital dan bekalan elektrik di rumah mayat juga sudah terputus," ujarnya.

Wartawan yang berada di lokasi itu turut mengesahkan bau busuk mayat mereput menyelubungi seluruh hospital berkenaan walaupun kempen pengeboman sejak malam Isnin dilaporkan 'tidak seganas' pada akhir minggu lalu.

"Kami tiada bekalan elektrik, tiada sumber air dan makanan. Keadaan semakin teruk dan tidak berperikemanusiaan," kata seorang doktor yang enggan identitinya didedahkan.

Dalam perkembangan berkaitan, konvoi kereta kebal dan kereta perisai rejim Zionis dilaporkan menghampiri pagar utama hospital berkenaan yang menjadi tempat berlindung kira-kira 20,000 penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal.

Operasi pencerobohan tersebut dilancarkan setelah tentera Israel menuduh pejuang Hamas menggunakan terowong di bawah hospital itu sebagai 'pusat perintah' dan menjadikan pesakit dan mangsa cedera sebagai 'perisai manusia'.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga menyatakan kononnya mereka tidak menyasarkan hospital sebaliknya hanya mahu menghapuskan pejuang Hamas.

Sebagai respons terhadap provokasi melampau itu, sekutu kuatnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa IDF supaya tidak mengambil langkah tergesa-gesa menerusi kenyataan pertama yang jelas mengutuk operasi tersebut.

"Hospital wajar dilindungi," katanya di Pejabat Oval.

Sementara itu, jurucakap IDF, Peter Lerner tetap berdegil mempertahankan tindakan kemaraan mereka tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa setelah hospital terus menjadi sasaran kempen pengeboman rejim Zionis sejak akhir-akhir ini. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!