PRK Kemaman: UMNO sedia berdepan sesiapa sahaja - Ahmad Zahid
JERANTUT - UMNO bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja daripada pihak lawan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember depan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan menampilkan bekas pemimpin UMNO sebagai calon mereka dalam PRK Kemaman.
"Kita sedia menghadapi siapa sahaja, sama ada bekas daripada parti kita yang mereka khianati atau pun parti asal yang telah pun dibatalkan kemenangannya," kata beliau ketika ditanya pemberita di sini pada Selasa.
PN akan mengumumkan calon yang mewakili parti itu untuk PRK tersebut pada Khamis ini.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PN, Che Alias Hamid pada PRU15.
Pada PRU15 November lalu, Che Alias merampas kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas menewaskan calon BN dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
BN sebelum ini mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon mereka untuk PRK itu pada Isnin.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan berlaku banjir ketika kempen PRK Kemaman, Ahmad Zahid memberitahu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen dan proses pengundian akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita akan berunding dengan SPR mengikuti SOP yang baru dan di PPS (pusat pemindahan sementara) itu pada hemat saya yang penting kita hargai, kita santuni mangsa-mangsa banjir itu dahulu.
"Walau bagaimanapun, takkanlah kita dah tolong, mereka tak tolong orang yang tolong mereka," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!