Rogol remaja perempuan: Reman tujuh lelaki disambung
KEMAMAN - Perintah reman ke atas tujuh lelaki termasuk lima remaja yang sebelum ini ditahan atas kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun disambung tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.
Perintah lanjutan reman ke atas suspek berusia 14 hingga 19 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan sebelum ini dilaporkan berkata, tujuh lelaki itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini sebaik menerima aduan daripada mangsa.
Katanya, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian yang berlaku pada Julai tahun lalu bagi membantu siasatan.
Berdasarkan laporan, mangsa yang berasal dari Kemasik sebelum ini dikatakan dijemput dua rakannya dan dibawa ke rumah kenalan rakannya itu di Kijal, di sini di mana terdapat enam lagi remaja lelaki di rumah tersebut.
Ketika berada di rumah kenalan rakannya itu, suspek pertama membawa mangsa masuk ke dalam sebuah bilik lalu meraba payudara dan kemaluan serta merogol mangsa sebelum disusuli tujuh lagi suspek secara bergilir-gilir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!