Seorang maut, sembilan cedera nahas dua kenderaan

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Mawai, Batu 31/2, Kota Tinggi pada Selasa. - Foto Bomba
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Mawai, Batu 31/2, Kota Tinggi pada Selasa. - Foto Bomba
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang wanita maut, manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Mawai, Batu 31/2 di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut jam 1.16 tengah hari.

Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan tujuh anggota bomba dari BBP Kota Tinggi dihantar ke lokasi.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati kemalangan berkenaan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Alza dan sebuah van jenis Toyota Hiace.

"Perodua Alza dinaiki empat orang dan terdapat satu pemandu serta dua penumpang tersepit manakala kesemua mangsa di dalam van mengalami kecederaan tetapi tidak tersepit.

"PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera. Bagaimanapun, salah seorang penumpang Perodua Alza yang tersepit, telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya.

Mohd Rafi berkata, mangsa yang cedera iaitu dua wanita dan tujuh lelaki dihantar ke hospital dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar 2.40 petang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!