Zii Jia tolak sertai program RTG

Zii Jia menjadi satu-satunya pemain yang tidak menandatangani LOC untuk menyertai program RTG.
Zii Jia menjadi satu-satunya pemain yang tidak menandatangani LOC untuk menyertai program RTG.
A
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuat keputusan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai program Road to Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Zii Jia tidak menandatangani LOC itu selepas Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam mengadakan persidangan video bersama Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) pada Selasa.

Menurut Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG, pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet termasuk Zii Jia untuk bersetuju menyertai program RTG.

“RTG adalah satu kemudahan yang kita wujudkan untuk membantu memberikan perkhidmatan tambahan untuk atlet yang akan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita juga nyatakan RTG adalah platform yang kita nak hapuskan semua birokrasi sebelum ini. Namun, saya tidak boleh paksa atlet yang tidak mahu terima ataupun mereka ada fasiliti lain yang mereka ada akses.

“Itu terpulang kepada atlet masing-masing. Sebab itu kita sediakan kontrak asas untuk atlet. Saya percaya mahu atau tidak perkhidmatan tambahan daripada RTG adalah keputusan atlet sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 di Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada 31 Oktober lalu, Hannah memaklumkan Zii Jia adalah satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG masih belum menandatangani LOC untuk menyertai program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.

Selain diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, atlet turut dibantu menerusi sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN.

Ketika ini, seramai 15 atlet berada dalam program RTG iaitu dua jaguh berbasikal trek - Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom; dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta badang angkat berat, Mohd Aniq Kasdan.

Bakinya adalah sembilan pemain badminton terdiri daripada Zii Jia dan perseorangan lelaki, Ng Tze Yong; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta beregu campuran; Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!