Nekad redah asap tebal selamatkan warga emas OKU
PASIR MAS - Tindakan nekad empat lelaki meredah asap tebal berjaya menyelamatkan seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap penyakit angin ahmar daripada rentung selepas rumahnya di Kampung Paya Ular, Bunut Susu dekat sini terbakar petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, warga emas berkenaan, Mohd Nor Rafa, 60, tinggal berseorangan di rumah berkenaan selepas anak, menantu dan cucu-cucunya keluar ke rumah besannya kira-kira 300 meter dari kawasan itu.
Penduduk, Samsudin Hussain, 57, berkata, semasa kejadian dia bersama tiga rakannya iaitu, Mohd Azmi Zakaria, 55, manakala dua lagi dikenali sebagai Rosdi dan Yie berada di kedai kopi berhampiran.
"Kami terdengar orang ramai menjerit rumah Mohd Nor terbakar dan ketika itu saya teringat yang dia tidak boleh bergerak.
"Kami terus berlari ke rumahnya dan melihat api sedang marak. Kami cuba masuk melalui pintu hadapan tetapi gagal kerana asap tebal," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Yie masuk melalui tingkap rumah dan Yie mengangkat Mohd Nor manakala Mohd Azmi menunggu di tingkat bagi menyambut warga emas berkenaan sebelum dihulurkan kepadanya dan Rosdi yang berada di luar rumah.
Katanya, mereka hampir 'lemas' disebabkan asap yang terlalu tebal.
"Jujurnya agak sukar untuk kami bernafas tetapi semangat untuk menyelamat Mohd Noor semakin kuat selain mulut terus berdoa," katanya.
Samsudin berkata, mereka mengambil masa hampir 5 minit menyelamatkan Mohd Nor dan membawa dia keluar dari rumah tersebut.
"Alhamdulillah kami semua selamat, bagaimanapun Mohd Nor dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan selepas kedua-dua pahanya melecur.
"Hari ini kami diberitahu Mohd Nor telah keluar hospital dan dibawa pulang oleh anaknya ke Tanah Merah," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu Tumpat, Pegawai Bomba Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 petang.
Katanya, seramai 25 anggota dari Balai Wakaf Bharu, Pasir Mas dan Pasukan Bomba Bantuan dikejar ke lokasi kejadian.
"Ketika kami sampai, rumah tersebut sudah hangus 100 peratus. Difahamkan seorang mangsa telah terperangkap tetapi berjaya diselamatkan oleh orang awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!