KPT hargai atlet cemerlang di Universiade Chengdu 2023

A
A
A

[DIKEMAS KINI] SERAMAI 20 atlet institusi pengajian tinggi (IPT) menerima insentif kemenangan berjumlah RM32,500 hasil pencapaian cemerlang pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu 2023, China pada Julai lalu.

Penyertaan kali ini juga mencipta sejarah baharu kepada penanda aras prestasi atlet IPT di pentas tertinggi dunia.

Ia apabila kontinjen negara berjaya memenangi pingat emas pertama di temasya ini setelah menanti selama 38 tahun sejak temasya pertama di Kobe, Jepun pada 1985 menerusi atlet wusyu negara, Tammy Tan Hui Ling dari Asia Pasific University (APU).

Kejayaan cemerlang itu dituruti atlet lain apabila turut menyumbang satu perak dan lima gangsa kepada kontinjen negara.

Satu perak disumbang oleh pasukan terjun dan lima gangsa pula melibatkan tiga daripada wushu dan dua daripada badminton.

Paling membanggakan, perenang negara, Bryan Leong Xin Ren (King’s College London) memadamkan rekod kebangsaan berusia 14 tahun milik Daniel Bego dalam acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu dengan masa 24.35 saat (s).

Pelari sensasi 400 meter negara, Umar Osman dari Politeknik Ibrahim Sultan pula mencatat sejarah memadamkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu iaitu 46.34s.

Umar memadam rekod sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dengan masa 46.33s dan 46.09s serta layak beraksi di peringkat akhir.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat berbangga kerana kejayaan pingat emas pertama ini seumpama kita telah berjaya memenangi pingat emas pertama di Olimpik kerana Universiade merupakan Sukan Olimpik kepada atlet yang berada di IPT

“Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang seiring dengan Dasar Sukan Negara (DSN) untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kecemerlangan sukan.

“Ia juga mewujudkan budaya bersukan di IPT yang berjaya mencapai objektif menerusi pencapaian atlet universiti di peringkat antarabangsa,” kata Timbalan Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal ketika berucap pada majlis penyampaian insentif sukan IPT pada Selasa.

Pada majlis sama, turut diadakan pelancaran Road To Surabaya (RTS) 2024 yang menyaksikan kontinjen negara bakal menyertai Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 pada 25 Jun hingga 6 Julai 2024 di Surabaya dan Malang, Indonesia.

Sebanyak 11 negara Asia Tenggara bakal mengambil bahagian dengan 19 acara sukan dipertandingkan

Edisi AUG di Ubon Ratchathani, Thailand sebelum ini, kontinjen negara meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!