Terbuka Malaysia: BAM tawar diskaun beli tiket
PENYOKONG badminton negara berpeluang mendapatkan tiket-tiket Terbuka Malaysia 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 14 Januari depan di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tiket pada harga diskaun akan mula dijual pada jam 11 pagi Rabu ini.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, satu kempen pembelian awal yang menyediakan diskaun kepada para penyokong yang mendapatkan tiket sebelum 15 Disember ini.
Badan induk badminton negara itu juga memaklumkan tiket langganan juga boleh diperoleh mulai 15 November ini kepada mereka yang mahu menikmati setiap detik perlawanan penuh aksi kejohanan Super 1000 tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menggalakkan para penyokong negara supaya mendapatkan tiket awal.
“Terbuka Malaysia Petronas secara konsisten menghidangkan aksi badminton kelas dunia, dan kami teruja untuk menjadi hos acara berprestij ini sekali lagi.
“Ia merupakan peluang unik bagi peminat menyaksikan aksi hebat atlet sukan dan wira negara di atas pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Para penyokong yang ingin membeli tiket boleh berbuat demikian di laman www.ticket2u.com.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!