‘Apa lagi Tun M tak puas hati dengan Anwar’ - Kamil Munim
SHAH ALAM - “Apa lagi yang Tun tak puas hati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apakah tak cukup derita puluhan tahun yang dialami oleh YAB PMX?”
Demikian soal Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim selepas Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar memiliki pendirian berbeza dan menjadi lebih buruk selepas menjadi Perdana Menteri.
“Sebaiknya Tun Dr Mahathir perlu 'move on' dan memberikan pandangan sebagai negarawan.
“Bukan lagi bangkit isu peribadi antara dirinya dan pemimpin negara yang dulunya diangkat oleh beliau juga,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Selasa.
Muhammad Kamil berkata, perkara yang lebih menjengkelkan apabila Dr Mahathir sendiri yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan tidak menepati janji untuk menyerahkannya kepada Anwar.
Dalam pada itu, beliau beranggapan bahawa komen yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir itu terhadap Ahli Parlimen Tambun sebagai tanda kekesalan.
“Ini kerana tak manis jika nak diingatkan semula apa yang tangan Tun dah lakukan kepada pemimpin negara baik daripada Tunku, Tun Hussein, Tun Razak, Pak Lah hinggalah ke pemimpin negara hari ini.
“Tak ketinggalan kepada derita yang dialami oleh mantan pemimpin Pas yang telah meninggalkan kita.
“Mungkin Pas sekarang sudah lupa pesan mantan Presidennya, Datuk Fadzil Noor bahawa Dr Mahathir akan hidup lama untuk melihat kehancuran yang telah dia lakukan,” ujarnya.
Pada masa sama, Muhammad Kamil menjelaskan bahawa beliau tiada niat untuk menegur Dr Mahathir, namun hantaran itu dibuat sekadar meluahkan rasa pemimpin muda yang cuba belajar daripada pengalaman politik Malaysia.
Menurutnya, jika ada orang lebih tua menceceh hal-hal yang tidak sepatutnya, tiada ada guna lagi untuk meluruskan pandangannya.
“Begitulah halnya apabila seseorang sudah lanjut usia dan tanpa sedar menyuarakan rasa kesal dengan apa yang pernah dilakukannya dirinya.
“Kita iyakan sahaja dan maju kehadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!