Taasub kepada ubat tradisional biarlah berpada-pada

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

TANAH Melayu ini sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya, adat, majmuknya masyarakat dan kaya dengan sumber alam.

Malah sumber alam adalah bahan utama kepada perubatan tradisional yang masih diamalkan bagi membantu menyembuhkan atau mereda kesakitan akibat demam, luka, penyakit dan banyak lagi.

Mengikut pengalaman Merak Jalanan yang merasai zaman perubatan tradisional dan ubat moden masa kini, masih ramai masyarakat di Malaysia percaya serta taasub dengan kaedah lama.

Ada pula yang mentah-mentah menolak vaksin, sebaliknya lebih rela menghidu asap kemenyan konon-konon untuk membuang penyakit.

Pada hal dia ini pemegang ijazah sarjana dari sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Pelik sungguh dengan perilaku dan pemahaman cerdik pandai ini.

Merak Jalanan buntu memikirkannya sebab kalau orang di kampung yang jauh daripada akses bandar, tidak mustahil untuk amalkan perubatan tradisional.

Sebaliknya, orang bandar, moden, berpendidikan tinggi dan dikenali di khalayak ramai enggan menggunakan perkhidmatan ubat moden.

Artikel Berkaitan:

Konon dalam ubat itu ada unsur-unsur haram dan agenda musuh. Apa dah jadi dengan mereka ini?

Tidak salah kalau kita masih amal ubat tradisional, tetapi janganlah buang terus kaedah moden. Seimbangkanlah penggunaannya.

Di zaman ini, kita cukup mudah terkena penyakit yang tak terduga dek akal.

Orang kata, bila di akhir-akhir zaman ini, lagi banyak penyakit muncul.

Tetapi jangan takut sebab teknologi masa kini mampu mengesan penyakit dari awal.

Kalau masih guna teknik tilik air dalam mangkuk, mana nampak virus dalam darah!

Cuba-cubalah bawa berubat secara moden pula.

Jangan sampai mata hitam naik ke atas, baru terkial-kial hendak bawa ke hospital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!