Aksi payung terjun bakal curi tumpuan

Pasukan payung terjun Bahagian Udara JBPM membuat latihan sempena majlis sambutan 25 Tahun Jubli Perak penubuhan bahagian itu pada Sabtu ini. Gambar kecil: Nazili Mahmood
Pasukan payung terjun Bahagian Udara JBPM membuat latihan sempena majlis sambutan 25 Tahun Jubli Perak penubuhan bahagian itu pada Sabtu ini. Gambar kecil: Nazili Mahmood
A
A
A

PUTRAJAYA - Aksi payung terjun melibatkan pelbagai agensi keselamatan negara bakal 'menghujani' Pangkalan Udara Wilayah Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bertam, Pulau Pinang pada Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Nazili Mahmood berkata, pertandingan dan persembahan payung terjun melibatkan anggota agensi keselamatan negara itu bakal memeriahkan lagi sambutan 25 Tahun Jubli Perak Bahagian Udara JBPM di Bertam, Pulau Pinang.

Beliau berkata, acara di awan biru tersebut merupakan sebahagian daripada pelbagai aktiviti menarik dirancang Bahagian Udara JBPM sempena sambutan ulang tahun ke-25.

Kata beliau, peluang menyaksikan momen terbaik yang jarang-jarang sekali dilihat secara langsung itu seharusnya dimanfaat sebaiknya oleh orang ramai bersama ahli keluarga.

"Ia merupakan satu momen yang jarang dapat dilihat oleh orang ramai secara langsung di depan mata.

"Lebih menarik apabila acara dan pertandingan payung terjun ini dilakukan oleh mereka yang pakar daripada agensi keselamatan negara.

"Jangan lepaskan peluang terbaik ini untuk hadir menyaksikan pertunjukan awan biru ini di Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM pada hujung minggu ini," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Majlis perasmian 25 Tahun Jubli Perak penubuhan Bahagian Udara JBPM akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nazili berkata, pertandingan dan persembahan payung terjun itu akan disertai beberapa agensi keselamatan terkemuka negara.

Menurutnya, ia bakal dipersembahkan oleh Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau), pasukan Komando 69 (VAT69), Grup Gerak Khas (GGK), Briged Ke-10 Payung Terjun (PARA) dan JBPM sendiri.

Selain itu kata beliau, sambutan Jubli Perak selama tiga hari bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 6 petang itu bakal mempamerkan 'Bomba Challenge' yang terbuka kepada orang ramai.

Menurut beliau, menerusi acara tersebut, orang ramai boleh mencuba untuk melakukan aktiviti lasak yang sering dilakukan oleh anggota JBPM.

Jelasnya, antara acara fizikal itu adalah melibatkan penggunaan hos bomba, alat pemadam api serta turun menggunakan tali daripada bangunan.

Selain itu menurutnya, pertandingan dan persembahan drone melibatkan pelbagai agensi keselamatan negara bakal dipertonjolkan kepada orang ramai.

Tambahnya, aksi dan demonstrasi penyelamatan bersama pesawat iaitu aksi menyelamat mangsa menggunakan helikopter JBPM bakal menyerikan lagi majlis sambutan kali ini.

Kata beliau, orang ramai juga berpeluang beraksi dengan helikopter dan dron simulator yang disediakan pada sambutan tiga hari tersebut.

"Sebagai acara rasmi JBPM di setiap majlis, demonstrasi keselamatan kebakaran akan dipersembahkan oleh anggota bagi tontonan dan panduan orang ramai," ujarnya.

Tambahnya lagi, pelbagai pameran akan disertai beberapa pihak keselamatan negara dan agensi kerajaan lain.

Selain itu katanya, acara menarik lain yang disediakan adalah pertandingan kebombaan, fire kitchen, gerai jualan serta kempen derma darah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!