Ahli Parlimen Labuan nafi wujud paksaan, sogokan sokong PM

Suhaili Abdul Rahman
Suhaili Abdul Rahman
A
A
A
LABUAN - Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada Rabu menafikan sekeras-kerasnya wujud paksaan, ugutan dan sogokan keatas empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kononnya terdapat seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah menyokong pimpinan Perdana Menteri adalah tidak benar.



"Membuat dakwaan empat ahli parlimen Bersatu telah didatangi oleh seseorang individu dengan gelaran Datuk Botak, yang kononnya memberikan tekanan seperti mengugut, menjanjikan projek-projek dan memberi habuan wang tunai untuk sokong Perdana Menteri, terutamanya kepada diri saya - semua itu adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Rabu.



Suhaili berkata, sokongannya kepada Perdana Menteri demi memastikan kelangsungan rakyat di kawasan Parlimen Labuan.

"Saya ingin mengulangi bahawa sokongan saya kepada Perdana Menteri adalah sukarela dan tanpa sebarang desakan atau tekanan.
Artikel Berkaitan:


Baru-baru ini Wan Ahmad Fayhsal menerusi satu sidang akhbar mengatakan bahawa ada seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah, menyokong pimpinan Perdana Menteri.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytihar menyokong Anwar iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Suhaili (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!