Israel dakwa sudah kepung Kota Gaza
TEL AVIV - Israel mendakwa tenteranya sudah mengawal kota Gaza setelah menewaskan kumpulan pejuang Islam Hamas di Semenanjung Gaza.
Dakwaan itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant pada Selasa susulan pengepungan terhadap kompleks kesihatan terbesar Gaza, Hospital al-Shifa.
"Anggota askar Golani (Briged) telah menduduki parlimen Gaza. Ini sangat penting.
"Saya boleh katakan Hamas telah hilang kuasa di utara Semenanjung Gaza dan kita telah mengawal sepenuhnya Kota Gaza," katanya.
Gallant mendakwa, pengepungan dan serangan terhadap Hospital al-Shifa dilakukan kerana ia merupakan tempat kumpulan pejuang Hamas berlindung.
Beliau juga mendakwa, kumpulan pejuang itu mempunyai markas dan pejabat di kompleks kesihatan tersebut.
Bagaimanapun, pejuang Hamas menafikan dakwaan itu malah berkata, hospital kini menjadi sasaran utama tentera Israel untuk melakukan jenayah pembunuhan orang awam berskala besar.
Menurut Hamas, dianggarkan 5,000 hingga 7,000 orang awam terperangkap di kawasan hospital, apabila serangan diteruskan di pekarangan kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!