Kisah tekanan ekonomi dilakukan Rasulullah terhadap mereka yang menzalimi Islam dan masyarakat

SEKATAN ekonomi terhadap mereka yang menzalimi Islam pernah dilakukan ketika zaman Rasulullah SAW. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
SEKATAN ekonomi terhadap mereka yang menzalimi Islam pernah dilakukan ketika zaman Rasulullah SAW. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

DI sebalik kerancakan kempen boikot produk Israel dan jenama yang menyokong negara haram itu, ada pihak yang mengungkit tentang dalil memerihalkan tentangnya.

Malah ada pandangan menyatakan, kempen seumpama itu dalam memberikan tekanan ekonomi dikatakan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.

Bagaimanapun, hasil pembacaan Sinar Islam menemukan dapatan sebaliknya.

Ketika zaman Rasulullah SAW lagi, usaha boikot perniagaan Yahudi pernah digerakkan bagi membangunkan ekonomi masyarakat Madinah.

Memetik artikel yang disiarkan dalam laman web Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal), semua itu berlaku selepas penghijrahan Baginda dan para sahabat dari Makkah ke Madinah.

Selepas membina masjid tanda kesatuan ummah dan mempersaudarakan di antara kaum Muhajirin serta Ansar, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Akmal, Ustaz Saifullah Hussin, Nabi Muhammad SAW mula membangunkan ekonomi umat Islam Madinah dengan membina pasar wakaf Madinah yang Islamik.

USTAZ SAIFULLAH
USTAZ SAIFULLAH

Artikel Berkaitan:

“Ketika itu, ekonomi masyarakat Madinah sudah lama dimonopoli oleh puak Yahudi. Mudah kata, merekalah kaum pengeluar, pemborong dan peniaga. Bahkan, mereka jualah pemilik kebun-kebun besar di Khaibar.

“Selain itu, puak berkenaan memiliki pasar raya besar dan masyhur di perkampungan Yahudi Bani Qoinuqa’. Dari segi lokaliti, ia terletak agak jauh dengan Masjid Nabawi.

“Namun apa yang menyedihkan apabila orang Madinah sudah lama terjerut dengan sistem jual beli Yahudi yang penuh dengan penipuan dan penindasan. Sistem perniagaan dan pinjaman yang jahat berasaskan sistem riba yang ‘mencekik’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web hafizsetahun.com.

Tatkala Rasulullah SAW menguasai Madinah, maka Baginda meminta para sahabat yang pakar dalam bidang perniagaan seperti Abdul Rahman bin ‘Auf, Uthman bin ‘Affan, Abu Bakar as-Siddiq dan lain-lain untuk menggantikan penguasaan Yahudi.

“Baginda pun mula mengatur langkah dengan mempersiapkan satu kawasan lapang tidak jauh dengan masjid sebagai ‘supermarket’ Madinah.

“Bahkan, Nabi mula mengalihkan tumpuan masyarakat Arab dari pasar Yahudi ke kawasan kaum Muslimin,” katanya.

Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga pernah mengenakan tekanan ekonomi terhadap kaum Quraisy yang menzalimi Islam.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman sosial Facebook miliknya.

DR AHMAD SANUSI
DR AHMAD SANUSI

Semasa Quraisy mendustakan Rasulullah SAW dan memerangi Islam, beliau berkata, Baginda telah berdoa kepada ALLAH SWT supaya kaum berkenaan diuji dengan kekeringan sumber dan tekanan ekonomi.

Baginda berdoa: “Ya ALLAH, bantulah daku dengan menimpakan sesuatu ke atas Quraysh seperti kemarau tujuh tahun yang menimpa kaum Nabi Yusuf. Maka Quraysh ditimpa tahun kemarau sehingga mereka terpaksa memakan bangkai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ternyata ALLAH SWT mengabulkan doa Baginda.

“Keadaan kemarau dan ekonomi yang meruncing ini benar-benar memberikan tekanan kepada kaum Quraisy.

“Ia sehinggakan Abu Sufyan datang memohon kepada Baginda agar mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat Quraisy. Lalu, Baginda pun mendoakan mereka,” ungkapnya.

Dalam satu lagi kisah masyhur, Dr Ahmad Sanusi menceritakan seorang sahabat bernama Thumamah Ibn Uthal al-Hanafi pernah melakukan boikot ekonomi terhadap Quraisy.

Kisahnya begini, apabila beliau datang ke Makkah untuk menunaikan umrah, Quraisy mendakwa Thumamah telah terkena sihir Muhammad.

Lantaran itulah Thumamah yang juga ketua kaumnya bersumpah akan mengenakan sekatan ekonomi terhadap kaum tersebut.

Thumamah berkata: “Demi ALLAH, tidak akan ada satu biji gandum pun daripada al-Yamamah yang akan dieksport ke Mekah sehinggalah kami mendapat keizinan Rasulullah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

-Gambar hiasan
-Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Sanusi kemudian berkongsi tentang tekanan dan pemualauan ekonomi terhadap Yahudi Bani al-Nadhir dek kerana telah melanggar perjanjian dengan Rasulullah SAW.

Melihat kepada beberapa ‘kes’ itu, jelas menunjukkan tindakan tegas Rasulullah dan sahabat terhadap kaum yang memusuhi Islam.

“Mengertilah, kuasa membeli pada tangan anda. Majoriti pengguna ialah Muslim. Sekiranya sesuatu kaum jelas menzahirkan permusuhan mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin, maka jihad ekonomi adalah salah satu daripada jalan menghadapinya.

“Pada masa sama, Muslim juga seharusnya membantu produk Muslim yang lain dalam membina kekuatan ekonomi buat kaum Muslimin itu sendiri,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!