Sistem amaran awal banjir mudahkan pemindahan mangsa
KUALA SELANGOR - Pelaksanaan sistem amaran awal banjir akan dikendalikan beberapa agensi kerajaan yang menjalankan fungsi dan peranan masing-masing sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka dari November hingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sistem amaran itu penting bagi memastikan perjalanan memindahkan mangsa banjir berjalan lancar selain menyalurkan maklumat tepat.
Menurutnya, agensi yang mengendalikan sistem amaran awal itu terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan membuat rondaan di kawasan berisiko, manakala polis pula membuat pengumuman awam selain maklumat berkaitan banjir disalurkan melalui hebahan SMS (sistem pesanan ringkas) telefon bimbit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Makanan MTL di Pusat Memproses Makanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kuala Selangor di sini pada Rabu.
Khairul Shahril berkata, semua agensi itu diselaraskan di bawah Pegawai Daerah yang juga merangkap Pengerusi Bencana Daerah di setiap kawasan terlibat.
Beliau memberitahu, semua senarai nama mangsa banjir berdaftar akan direkodkan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan penyaluran sebarang bentuk bantuan.
Menurut beliau, semua agensi terlibat juga berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim MTL.
Jelas beliau, antara persediaan dilakukan termasuklah dari segi logistik, PPS, kesihatan, penyelarasan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Kita telah membuat persediaan sepanjang tahun seperti latihan awal dan ia bukan tertumpu semasa monsun semata-mata," katanya.
Ditanya mengenai berapa lokasi hotspot banjir di negara ini, Khairul Shahril berkata, definasi kawasan berisiko banjir bergantung kepada agensi masing-masing.
Beliau memberitahu, pada masa ini, sebanyak 4,000 kawasan berisiko dengan sebanyak 8,000 PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.
"PPS ini meliputi sekolah, dewan masyarakat dan masjid dan paling penting kita akan memastikan bekalan makanan juga mencukupi sepanjang mereka dipindahkan," ujar beliau.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelaksanaan sistem amaran awal banjir adalah panduan untuk memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum berlaku luruan hujan luar biasa pada MTL.
Ahmad Zahid berkata, acuan sistem itu berdasarkan kelaziman banjir setiap tahun dan antara daerah dikenal pasti berkemungkinan mengalami luruan hujan luar biasa ialah Temerloh di Pahang, Segamat dan Kota Tinggi (Johor) serta Kota Belud dan Marudu (Sabah).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!