Mazzarri kembali ke pangkuan Napoli
BAGAI sireh pulang ke gagang, Walter Mazzarri kembali ke Napoli dalam usaha memulihkan kredibiliti juara Itali itu yang bergelut dengan prestasi dalam saingan Serie A musim ini.
Jurulatih berusia 62 tahun itu menggantikan Rudi Garcia yang hanya bertahan selama lima bulan.
Napoli berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kejuaraan, hanya memenangi enam daripada 12 perlawanan, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Inter Milan.
Permulaan hambar musim ini mencapai kemuncaknya Ahad lalu apabila Napoli kalah 0-1 kepada Empoli di laman sendiri ketika taktikal Garcia gagal membuahkan hasil menentang pasukan yang menghuni tangga ke-17.
Napoli mendedahkan berita itu dalam catatan ringkas di media sosial lewat malam Selasa.
“Walter Mazzarri ialah jurulatih baru Napoli. Selamat kembali Tuan,” catat kelab tersebut.
Mazzarri memiliki pengalaman luas dalam Serie A termasuk membimbing Napoli dari 2009 hingga 2013.
Ia merupakan tempoh cemerlang buat Napoli apabila layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama, memenangi Coppa Italia dan menduduki tempat kedua dalam Serie A pada musim terakhirnya.
Kudrat terakhirnya di Cagliari, tetapi dia cuma bertahan kurang dari setahun, meninggalkannya pada Mei 2022 dengan kelab itu ketika ini di ambang penyingkiran daripada saingan Serie A.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!