Banjir kilat: MBI peruntuk RM3 juta selenggara kolam tadahan

Rumaizi (hadapan, empat dari kanan) bersama pegawai kanan MBI dan Ahli Majlis menunjukkan aplikasi DMBI yang dilancarkan di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di Ipoh pada Rabu.
Rumaizi (hadapan, empat dari kanan) bersama pegawai kanan MBI dan Ahli Majlis menunjukkan aplikasi DMBI yang dilancarkan di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan RM3 juta bagi kerja-kerja menyelenggara kolam tadahan di bandar raya ini sebagai langkah mengurangkan risiko banjir kilat susulan Monsun Timur Laut ketika ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, tawaran kerja sudah pun dikeluarkan kepada kontraktor dilantik untuk melaksanakan penyelenggaraan berkenaan pada bulan Oktober dan November.

Menurutnya, usaha dilakukan dengan membuat penyelenggaraan dan pembersihan kolam tadahan dilihat membantu mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar bandar raya itu.

"Kalau kita lihat dalam tempoh 10 tahun sebelum ini, banjir kilat yang berlaku lebih besar namun disebabkan kerja-kerja naik taraf sistem perparitan secara berperingkat, kawasan yang dahulunya banjir kini tidak lagi berlaku seperti di Sungai Rokam.

"Kerja-kerja naik taraf longkang sedia ada memang sedang dilaksanakan secara berperingkat dan tahun depan juga ada yang akan kita laksanakan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Aplikasi DMBI di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Ipoh pada Isnin.

Sementara itu, Rumaizi dalam ucapan memaklumkan bermula pertengahan tahun ini, MBI tidak lagi menghantar bil cukai taksiran secara fizikal sebaliknya sebarang semakan dan pembayaran akan dilaksanakan melalui aplikasi DMBI.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 28,800 muat turun bagi aplikasi DMBI dilakukan menerusi Google Playstore dan Appstore.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi menggalakkan orang ramai membayar cukai secara dalam talian, mereka yang memuat turun serta membayar cukai menerusi aplikasi tersebut layak menyertai cabutan bertuah pada tahun 2024.

Jelasnya, hadiah dengan nilai keseluruhan RM99,000 termasuk sebuah kereta, empat buah motosikal, barangan elektrik dan wang tunai ditawarkan kepada mereka yang layak.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi menjelaskan tiada sebarang kelulusan diberikan terhadap cadangan untuk membangunkan satu kawasan bagi tujuan tanah perkuburan kendalian pihak swasta seperti yang tular di media sosial.

Katanya, perkara tersebut hanya di peringkat cadangan dan satu pendengaran awam akan dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas masyarakat setempat mengenai perkara itu.

"Memang ada cadangan untuk memajukan secara PFI (pembiayaan swasta) tetapi belum ada buat keputusan. Kita akan panggil townhall dulu, kalau majoriti tidak setuju kita tolak.

"Jadi tak ada apa-apa keputusan. Orang cadang macam-macam itu biasalah," katanya.

Menerusi hantaran di Facebook Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Ashraf Kahasani memaklumkan tular di WhatsApp mengenai tanah rizab kemudahan awam dijadikan tanah perkuburan swasta di Tambun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!