Kerajaan negeri diminta terima pakai pindaan RUU Perhutanan Negara - Nik Nazmi

Nik Nazmi (tiga dari kanan) ketika mengiringi Al-Sultan Abdullah menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringlat Negeri Pahang dan Perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin pada Rabu.
Nik Nazmi (tiga dari kanan) ketika mengiringi Al-Sultan Abdullah menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringlat Negeri Pahang dan Perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin pada Rabu.
A
A
A

ROMPIN - Semua kerajaan negeri diminta memberikan sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang telah dilulus dan diwarta di peringkat Persekutuan pada September tahun lalu sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan dalam pindaan tersebut adalah memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Menurutnya, melalui penambahbaikkan RUU itu, proses penyiasatan awam diperkenalkan sebelum sesuatu kawasan HSK diwarta keluar dan penggantian serentak bagi HSK yang diwarta keluar.

"Kadar denda maksimum bagi kesalahan hutan juga telah ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM5 juta dan hukuman penjara maksimum dinaikkan kepada tujuh tahun hingga 20 tahun sebagai langkah pencegahan.

"Kerajaan juga akan terus komited dalam memelihara dan memulihara kawasan berhutan dan khazanah kepelbagaian biologi serta beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

"Pada masa ini, keluasan kawasan berhutan negara adalah 18,045,600 hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringlat Negeri Pahang dan Perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di sini pada Rabu.

Nik Nazmi berkata, sasaran 50 peratus kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2040 merupakan 'game changer' dalam memperkukuhkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negeri-negeri.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, langkah-langkah transformatif telah dipergiatkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 untuk mengukuhkan usaha membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

"Melalui Program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (BP3) tahun ini, kerajaan telah melantik 1,500 Renjer Komuniti terdiri daripada Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Veteran Polis Diraja Malaysia, masyarakat Orang Asli serta komuniti setempat.

"Renjer Komuniti ini akan ditingkatkan kepada 2,000 orang tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM60 juta," katanya.

Tambah beliau, insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (EFT) akan ditambah kepada RM200 juta pada tahun hadapan berbanding RM150 juta tahun ini.

"Inisiatif kewangan itu bagi memperkasakan kerajaan negeri termasuk Pahang dalam memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan.

"Sejak tahun 2019, Pahang telah menerima peruntukan EFT sebanyak RM22.8 juta termasuk RM14 juta yang disalurkan tahun ini," jelasnya.

Selain itu katanya, bagi menyokong usaha dan hasrat kerajaan negeri yang ingin terlibat di dalam aktiviti projek karbon hutan, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyediakan Dana Pembangunan Projek Karbon Hutan di bawah Belanjawan 2024.

Menurutnya, inisiatif itu akan dilaksanakan melalui produk kewangan inovatif yang sedang dimuktamadkan, bagi membantu Kerajaan Negeri menjalankan aktiviti persediaan sehingga penyediaan Dokumen Raka Bentuk Projek (PDD) menggunapakai piawaian atau standard antarabangsa yang sedia ada.

"Kerajaan juga sedang membangunkan dan memuktamadkan program baharu di bawah Sukuk Biodiversiti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 bagi menampung usaha meningkatkan skala sebarang projek karbon hutan yang akan dibangunkan," ujarnya.