Kyrgyzstan akui Harimau Malaya miliki ramai pemain berbahaya
PENGENDALI Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic tidak memandang rendah keupayaan Harimau Malaya menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi pertama Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Khamis.
Menurutnya, Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti dan Kyrgyzstan akan berwaspada selain merangka strategi bagi membendung kemampuan Harimau Malaya.
"Ramai (pemain Harimau Malaya) yang perlu diberikan tumpuan. Tetapi, setiap pasukan ada kelemahan dan kekuatan mereka.
"Kami perlu cari cara mengatasi kekuatan Malaysia dan kami perlu memanfaatkan kelemahan mereka. Jadi, ia berkaitan strategi dan sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sukar.
"Tetapi, kami akan turun dengan persembahan terbaik untuk mendapatkan keputusan positif di sini," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.
Dalam pada itu, Tarkovic turut menjangkakan tekanan tinggi bakal dihadapi pasukannya terutama suasana di stadium keramat Harimau Malaya itu.
Beliau berkata, Kyrgyzstan hadir dengan barisan terbaik berbeza ketika mereka tewas kepada Filipina dalam aksi persahabatan bulan lalu.
"Setiap perlawanan bermula dengan 0-0 dan esok kami akan memberikan aksi berbeza berbanding perlawanan yang kami lalui sebelum ini.
"Perlawanan menentang Filipina kami tidak dapat membawa beberapa pemain utama dan kali ini bukan pasukan sama serta pemain berada pada tahap terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!