Harimau Malaya mahu teruskan momentum positif
HARIMAU Malaya bertekad untuk meneruskan momentum positif dengan melakar kemenangan ke atas pasukan di ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan dalam aksi pertama Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Khamis.
Tonggak pertahanan negara, Matthew Davies berkata, semua pemain negara juga sedar kepentingan aksi kelayakan tersebut dan percaya mampu untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan itu.
"Persiapan kami amat baik dalam beberapa hari kem latihan pusat. Ini juga kali keempat atau kelima kami bersama dalam pasukan kebangsaan tahun ini dan sudah serasi antara satu sama lain.
"Kami juga mempunyai momentum yang baik dan harap dapat teruskan untuk perlawanan esok serta kami tahu betapa pentingnya aksi ini," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.
Skuad negara mempamerkan rentak positif apabila tidak tewas dalam semua perlawanan persahabatan tahun ini selain berjaya mengikat pasukan China di ranking ke-79 dunia dan Syria (92).
Malah, dalam aksi Pestabola Merdeka bulan lalu, Harimau Malaya berjaya menundukkan India (102) untuk mara ke perlawanan akhir sebelum tidak bernasib baik tewas kepada Tajikistan (109).
Dalam pada itu, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga menegaskan segala kelemahan selepas tunduk kepada Tajikistan itu sudah diperbaiki dan berjanji ia tidak akan diulangi.
Beliau juga berpendapat, aksi kelayakan ini amat penting dan dalam masa sama tidak mengetepikan saingan Piala Asia yang akan berlangsung Januari nanti.
"Satu pencapaian yang baik untuk berada pada tahap ini termasuk Piala Asia, tetapi selepas Piala Asia berakhir sudah tiada apa-apa.
"Langkah seterusnya adalah untuk cuba mara ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan menjadi aksi penting," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!