Mangsa ribut, banjir di Ipoh terima bantuan ihsan RM600

Saarani menyerahkan sumbangan bakul makanan daripada Nadma kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta pada Selasa.
Saarani menyerahkan sumbangan bakul makanan daripada Nadma kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 83 keluarga yang terlibat dalam kejadian ribut dan banjir di sekitar Ipoh pada Isnin menerima bantuan kewangan RM600 bagi meringankan beban.

Bantuan dengan jumlah keseluruhan hampir RM50,000 itu melibatkan wang ihsan kerajaan negeri sebanyak RM300 manakala RM300 lagi merupakan sumbangan peribadi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, usaha sedang dibuat bagi menyelaraskan bantuan-bantuan lain termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebanyak RM1,000 dan Tabung Musa’adah Madani Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, satu mesyuarat melibatkan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan telah diadakan pada Selasa untuk menyelaras bantuan dan kerja-kerja pasca bencana berkenaan.

"Tumpuan kerajaan negeri pada masa ini untuk membaiki rumah yang rosak teruk seperti sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan ribut.

"Pada masa ini, kerja-kerja penilaian sedang giat dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta di sini pada Selasa.

Hujan lebat berterusan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh dilanda banjir kilat.

Keadaan itu mengakibatkan enam keluarga di Kampung Seri Kinta terpaksa dipindahkan ke PPS bagi tujuan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Ribut bersama angin kencang yang melanda turut menyebabkan 40 rumah penduduk Taman Meru 2C di Meru Raya terjejas dengan sebahagian besar mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti sistem perparitan yang lebih efisen untuk jangka masa panjang bagi mengelak kejadian banjir berulang.

Katanya, usaha itu digerakkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing dengan peruntukan daripada kerajaan Pusat.

"Di Hulu Perak, mereka dah mula buat kajian dan telah buat cadangan balas daripada kerajaan negeri.

"Dalam hal ini, tempoh masa yang panjang diperlukan bagi membolehkan JPS bersama PBT membuat rangka kerja sistem ini kerana nak kaji luas dan besar mana longkang itu, mungkin ada jalan atau rumah orang yang akan terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!