Sembilan ekor kambing dicuri, disembelih di kandang
KULAI - Seorang penternak di Kampung Melayu, Seelong Selatan, Senai di sini rugi RM10,000 selepas sembilan ekor kambingnya dicuri pada Jumaat.
Noor Akma Walid, 40, berkata, kejadian tersebut disedari pekerjanya pada awal pagi selepas mendapati seekor kambing berada di luar kandang.
"Apabila meninjau di sekitar kawasan kandang kambing, sembilan ekor kambing sudah tiada dan pekerja saya juga mendapati terdapat kesan darah.
"Semasa kiraan dilakukan semuanya 10 ekor kambing telah terlepas. Pencuri berkenaan menyembelih sembilan ekor kambing di kawasan kandang itu.
"Mereka mencuri 10 ekor, namun seekor terlepas. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Kulai pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Noor Akma yang menjual kambing jenis boer percaya kejadian tersebut berlaku pada awal pagi.
"Saya anggap kejadian ini adalah sebagai ujian daripada ALLAH selepas hampir 12 tahun berkecimpung dalam bidang ini.
"Saya juga berharap kejadian ini tidak berulang dan akan mempertingkatkan ciri keselamatan di kawasan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!