Ulama ISMA kecam konsert Coldplay, desak dibatal

Zamri (kiri). Kumpulan Coldplay (kanan) - Foto Courtesy of Dean Chalkley dan Getty Images
Zamri (kiri). Kumpulan Coldplay (kanan) - Foto Courtesy of Dean Chalkley dan Getty Images
A
A
A

IPOH - Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengecam keras penganjuran konsert kumpulan muzik terkemuka antarabangsa Coldplay yang bakal dianjurkan pada minggu depan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS), Datuk Zamri Hashim berkata, penganjurannya dilihat tidak sensitif dengan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, Palestin ketika ini.

Menurutnya, selain itu ia sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam apabila peperangan yang berlaku meragut ribuan nyawa umat Islam di negara Timur Tengah itu.

"MUIS meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert ini dan MUIS mengingatkan bahawa kelalaian mereka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin adalah suatu dosa pengabaian yang akan dipersoalkan kelak.

"MUIS meminta agar pihak berwajib membatalkan konsert ini bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara kita di Palestin yang sedang dibom dan diserang hingga melibatkan lebih 11 ribu nyawa yang terkorban," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Zamri turut menggesa semua pihak agar tidak melepas diri daripada tanggungjawab membantu dan menolong saudara seislam di Palestin.

Menurutnya, bantuan tersebut boleh dilakukan melalui semua aspek terutamanya doa, sumbangan dan sebaran keprihatinan kepada seluruh masyarakat.

Pada 9 Mei lalu, media melaporkan kumpulan muzik ternama dari United Kingdom itu mengesahkan bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November nanti.

Artikel Berkaitan:

Kemunculan mereka pada konsert yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bersempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour.

Selain Kuala Lumpur, Coldplay juga akan mengadakan persembahan di Tokyo, Jepun, Jakarta (Indonesia), Perth (Australia) dan di Taipei (Taiwan).

Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu popular dengan lagu-lagu seperti My Universe, The Scientist, Yellow, Hymn for the Weekend, Fix You, Viva La Vida dan banyak lagi.

Siri jelajah Coldplay telah bermula sejak Mac 2022 dan band itu telah menjadi antara artis yang menjual tiket konsert terbanyak di dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!