225 sekolah agama persendirian melalui proses pemutihan
SHAH ALAM - Sebanyak 225 atau 45 peratus daripada 497 sekolah agama persendirian di Selangor melalui proses pemutihan sejak 2020 hingga September tahun ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata, usaha pemutihan itu melibatkan 106 maahad tahfiz, 98 sekolah rendah Islam integrasi dan 21 sekolah menengah Islam.
Beliau bagaimanapun berkata, halangan utama dihadapi pihak sekolah untuk melaksanakan tindakan pemutihan adalah kos lantikan konsultan agak tinggi sebagai syarat mendapat kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kedua, pelanggaran keperluan peraturan PBT dengan sekolah yang beroperasi tidak berupaya mendapatkan ulasan kebenaran PBT mengikut tempoh masa ditetapkan.
"Terdapat juga sedikit perubahan perlu dibuat pada garis panduan pemutihan 1.0 untuk memudahkan pelaksanaannya kerana (garis panduan) yang ada tidak melihat secara menyeluruh kemampuan sekolah persendirian untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berhubung status sekolah agama persendirian yang berjaya diputihkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Fahmi mencadangkan semakan segera garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian negeri sedia ada untuk penambahbaikan bagi memudahkan sekolah menepati syarat PBT.
Selain itu, katanya, pendaftar sekolah Islam telah bersetuju memberi lanjutan pendaftaran sehingga Disember tahun depan bagi memberi peluang sekolah terbabit mendapatkan ulasan PBT termasuk melaporkan kemajuan terkini daripada konsultan dilantik.
“Ketiga, Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor juga akan membentang garis panduan pemutihan pendaftaran sekolah agama persendirian negeri Selangor 2.0 yang sedang dibuat Jabatan Perancang Bandar dan Desa kepada PBT.
“Terakhir sekali, bantuan pemutihan sekolah tahfiz juga dibiayai Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM3.35 juta untuk membantu pihak swasta mendapatkan kelulusan pihak konsultan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!