LBS lancar Program Sukuk Wakalah sulung bernilai RM750 juta

A
A
A

TAN SRI IR LIM HOCK SAN
TAN SRI IR LIM HOCK SAN



PETALING JAYA - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) secara rasminya telah mengemukakan permohonan Program Sukuk Wakalah bernilai RM750.0 juta dalam nilai nominal kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Permohonan program itu selaras dengan Garis Panduan SC mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Permulaan dan Pelancaran.

Program berkenaan diberikan penilaian awal AA-IS dengan tinjauan Stabil oleh MARC Ratings Berhad (MARC).

Mengulas mengenai pelancaran ini, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, penerbitan Program Sukuk Wakalah LBS itu dan penubuhan Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian sulung LBS merupakan bukti dedikasi dan kesungguhan syarikat berkenaan untuk membina masa hadapan yang bertanggungjawab, mampan dan inklusif untuk semua.

"Ini juga merupakan satu titik tolak penting, dalam mencapai matlamat LBS di dalam mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

No Image Caption



Program Sukuk Wakalah memberi fleksibiliti kepada LBS untuk menerbitkan Sukuk Wakalah dan Sukuk Wakalah Hijau/Sosial/Mampan/Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

Artikel Berkaitan:

Ia selaras dengan Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian sulung LBS, yang menerima Penilaian Bon Impak Emas oleh MARC.

Rangka kerja ini telah diwujudkan untuk menetapkan prinsip panduan bagi instrumen pembiayaan mampan LBS terhadap projek-projek khusus yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan sosial.

Dana yang diperolehi daripada Program Sukuk Wakalah ini, akan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan patuh syariah seperti modal perbelanjaan, pelaburan, perbelanjaan am korporat, dana utama dan pembiayaan semula.

Penarafan MARC mengiktiraf rekod prestasi kukuh LBS di dalam pembangunan hartanah kediaman mampu milik dan pertengahan, jumlah jualan belum dibil yang besar serta aliran tunai yang kukuh sebagai metrik penilaian utama.

HSBC Amanah Malaysia Berhad dan RHB Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Utama bersama, Pengatur Utama Bersama dan turut bertindak selaku Pengurus Utama Bersama bagi Program Sukuk Wakalah.

Selain itu, HSBC Amanah Malaysia Berhad merupakan Ejen Penstrukturan Kemampanan Tunggal dan Penasihat Syariah tunggal Program Sukuk Wakalah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!