KIR miskin tegar turun 38.8 peratus
KUALA LUMPUR - Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar direkodkan bawah sistem eKasih menurun sebanyak 38.8 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Ugak Kumbong berkata, sehingga 31 Oktober lalu, seramai 427,652 KIR direkodkan dalam sistem eKasih dengan pecahan miskin tegar iaitu 102,888 KIR manakala miskin (324,764 KIR).
Ujar beliau, pada 31 Januari lalu, kategori miskin tegar mencatatkan seramai 126,372 KIR dan menjadi kumpulan sasar bagi pemantauan program berkaitan.
“Dengan adanya Sistem eKasih ini memberi ruang kepada semua agensi pemberi bantuan yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan mengakses data atau maklumat kemiskinan yang sama di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Selain itu, setiap kementerian atau agensi juga bertanggungjawab untuk mengemas kini maklumat bantuan yang telah disalurkan di dalam sistem eKasih secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) di Dewan Rakyat pada Rabu berhubung jumlah golongan miskin yang telah didaftarkan bawah sistem eKasih dan kemajuan kejayaan menoktahkan kemiskinan setakat ini.
Sementara itu, mengulas mengenai keadaan kategori miskin tegar di Kapar, Selangor, menurut beliau, seramai 5,522 isi rumah telah direkodkan dalam sistem eKasih dengan pecahan KIR seramai 1,194 orang dan Ahli Isi Rumah (AIR) seramai 4,328 orang.
“Daripada jumlah tersebut seramai 239 KIR adalah di bawah kategori miskin tegar dan 955 KIR pula di bawah kategori miskin dengan bilangan bantuan sebanyak 45,055 bantuan telah disalurkan dengan nilai berjumlah RM57.17 juta.
“Bagi Parlimen Kapar, data yang dikunci pada tarikh 31 Januari 2023 adalah seramai 261 KIR.
“Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 169 KIR didapati masih kekal berada dalam kategori miskin tegar menjadikan peratus penurunan sebanyak 35.2 peratus,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!