Malaysia pertahan pendirian konflik Gaza pada mesyuarat ADMM

Mohamad Hasan (empat dari kiri) bergambar bersama menteri dan setiausaha pertahanan negara ASEAN ketika Mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) di Jakarta pada Rabu. - Foto AFP
Mohamad Hasan (empat dari kiri) bergambar bersama menteri dan setiausaha pertahanan negara ASEAN ketika Mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) di Jakarta pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan ADMM-PLus ke-10 di Jakarta pada Rabu, menyuarakan kebimbangan mendalam Malaysia berhubung situasi di Gaza dan keperluan gencatan senjata segera.

Dalam keadaan kritikal ini, Mohamad menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan kehilangan lebih banyak nyawa, penderitaan dan kemusnahan, sambil menggesa semua pihak bersabar dan mengurangkan ketegangan.

"Dalam tempoh yang mencabar ini, Malaysia mengulangi pendirian tidak berbelah bahaginya supaya gencatan senjata dicapai segera, akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang, dan penolakan tegas terhadap sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah milik mereka," kata Mohamad dalam ucapannya pada mesyuarat itu.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hari bertemakan 'Keamanan, Kemakmuran, dan Keselamatan,' bersama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Mohamad Yani Daud dan para pegawai kementerian.

Memandangkan Indonesia mempengerusikan ADMM dan ADMM-Plus bagi 2003, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Dalam ucapannya, beliau membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin merosot di Myanmar dan menyeru negara anggota ASEAN supaya aktif menyokong Myanmar dalam mencari penyelesaian yang berkekalan.

Menyedari kedudukan dunia yang saling berkaitan, Prabowo mengakui bahawa konflik di satu wilayah boleh memberi kesan kepada yang lain, dan oleh itu beliau menggariskan perlunya penyatuan usaha di peringkat tempatan dan global.

Prabowo juga menegaskan bahawa konflik yang semakin meningkat di wilayah seperti Rusia, Ukraine, dan Asia Barat meningkatkan risiko krisis kemanusiaan yang teruk.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata "Indonesia sedang giat terlibat dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu ini dan mewujudkan koridor kemanusiaan untuk mangsa di Gaza."

Beliau juga menegaskan mengenai keperluan mendesak untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan yang lebih teguh untuk mencegah konflik serupa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!