DUN Selangor: Semak semula syarat penubuhan pusat asuhan
SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyemak semula syarat-syarat penubuhan pusat asuhan, taska atau tadika yang terlalu ketat sehingga menggalakkan kewujudan premis berkaitannya beroperasi secara haram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (PH-DAP) berkata, PBT mensyaratkan agar pusat begini perlu ditubuh dalam rumah ‘corner lot’ dan memerlukan pelan susun atur yang bermaksud pengasuh perlu mengupah perkhidmatan arkitek yang bayarannya sangat mahal.
“Mereka juga perlu mengubahsuai rumah untuk membina akses bomba alternatif, memastikan pematuhan kepada keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.
“Yang mengasuh dua atau tiga orang anak sahaja juga tertakluk kepada syarat-syarat sama. Akhirnya, hakikatnya banyak pengasuh beroperasi secara haram,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Pembekalan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu
Beliau berkata, sebagai kerajaan ini bermaksud pemantauan juga berkurangan yang membawa impak negatif kepada keselamatan kanak-kanak.
“Telah tiba waktunya supaya syarat-syarat PBT bagi pusat pengasuh, tadika dan taska disemak semula dengan melayakkan syarat syarat lebih realistik tanpa menjejaskan keselamatan kanak-kanak. Selangor harus menerajui perubahan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!