Jumpa rangka manusia: Punca kematian belum diketahui

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis sedang menunggu laporan bedah siasat rangka manusia yang ditemui di kawasan belukar berhampiran sub stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Height, di sini, bagi mengetahui punca kematian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, punca kematian individu itu dijangka diketahui dalam masa terdekat.

"Belum... punca kematian individu itu akan diketahui dalam masa terdekat. Setakat ini, kita telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Jumaat Wan Azlan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada jam 12.15 tengah hari, Khamis.

Rangka berkenaan ditemui pekerja penyelenggaraan selepas selesai menjalankan kerja penyelenggaraan sistem LRT di stesen berkenaan.

Rangka manusia yang masih lengkap berpakaian baju T warna biru, baju singlet berwarna putih dan berseluar jean panjang berwarna biru ditemui di kawasan belukar di bawah jambatan.

Pemeriksaan di bahagian seluar menemui dompet yang mempunyai dua kad pengenalan diri warga Indonesia.

Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Riki Mandaguna berusia 40 tahun berasal dari Kota Samarinda, Kisaran Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan lanjut turut menemui beg galas berwarna hitam mengandungi barang keperluan diri seperti pakaian.

Rangka manusia itu dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

Kes diklasifikasikan sebagai sebagai mati mengejut (SDR), orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes ini menyalurkannya kepada Sarjan Ruzaizi A Ghani ditalian 017-6762338 atau menghubungi Balai Polis Putra Height di talian 03-5191374.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!