Penjawat awam rugi lebih RM80,000 angkara pelaburan tak wujud
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang penjawat awam kerugian RM81,570 selepas terpedaya dengan pelaburan bitcoin yang menawarkan pulangan 20 hingga 50 peratus.
Mangsa berusia dalam lingkungan 40-an dikatakan teruja dengan keuntungan tersebut selepas menerima satu pautan melalui aplikasi WhatsApp pada Jun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa menekan pautan terbabit dan dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram Pelaburan Bit Coin.
"Mangsa kemudian menyatakan minat untuk membuat pelaburan dan telah membuat beberapa transaksi wang ke akaun berbeza berjumlah RM81,570.30.
"Selepas mangsa masukkan wang tersebut, mangsa diminta untuk memasukkan wang lagi namun enggan berbuat demikian kerana mangsa merasakan telah ditipu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Susulan itu, kesemua simpanan termasuk wang yang dipinjam daripada kenalan lesap dalam sekelip mata.
Yahaya menasihatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa yang singkat.
Tegasnya, semakan terperinci dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu dilakukan sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan tertentu.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui sumber-sumber rasmi seperti national scam response center (NSRC) di talian 997, portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!